ANGKASA sasar 1,600 kedai koperasi sedia kemudahan tebus MyKasih
ANGKASA sasar 1,600 kedai koperasi sedia kemudahan tebus MyKasih
MARAN: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyasarkan kira-kira 1,600 kedai koperasi di seluruh negara diperkasakan bagi membolehkan premis berkenaan menyediakan kemudahan penebusan bantuan MyKasih, khususnya kepada masyarakat luar bandar.
Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, daripada kira-kira 3,600 koperasi yang menjalankan aktiviti peruncitan, sekitar 1,600 mempunyai premis kedai dan berpotensi menyediakan kemudahan berkenaan.
Menurutnya, setakat ini 198 kedai koperasi sedang melalui proses berkaitan bagi memenuhi keperluan ditetapkan.
“Kita mahu pastikan 1,600 kedai koperasi ini boleh menyediakan kemudahan penebusan bantuan.
“Sekarang kita sedang bantu mereka termasuk pendaftaran, sistem jualan (POS), capaian internet serta perkara berkaitan pelesenan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kabin Koperasi Kariah Masjid At-Taqwa Kg Awah Berhad di Masjid At-Taqwa, Kampung Awah, di sini, hari ini.
Abdul Fattah berkata, usaha itu penting kerana sebahagian besar penerima bantuan tinggal di luar bandar dan ada yang terpaksa ke pekan atau bandar untuk mendapatkan barangan keperluan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka perlu menanggung kos tambahan termasuk minyak, tol dan parkir.
“Kalau kemudahan itu ada di kedai koperasi kampung, nilai bantuan boleh digunakan sepenuhnya untuk membeli barangan.
“Pada masa sama, kita dapat membantu menghidupkan dan meningkatkan jualan kedai koperasi di luar bandar,” katanya.
Beliau berkata, ANGKASA turut membantu koperasi masjid menaik taraf kemudahan serta menambah variasi barangan yang dijual bagi meningkatkan jumlah jualan.

Menurutnya, bantuan sehingga RM20,000 disediakan kepada koperasi masjid bagi mendapatkan bekalan barangan menerusi rangkaian pembekal.
Katanya, terdapat kira-kira 730 koperasi masjid di seluruh negara dan kewujudan kedai berkenaan juga mampu menjadikan masjid sebagai pusat ekonomi komuniti setempat.-SAHIH
#kw: kedai koperasi, MyKasih, ANGKASA, Abdul Fattah
