Jengkaut tenggelam di Tasik Bera, seorang maut
Jengkaut tenggelam di Tasik Bera, seorang maut
Bera: Seorang lelaki maut selepas jengkaut yang digunakan untuk kerja pembersihan terbalik dan tenggelam di Tasik Bera, di sini, hari ini.
Mangsa, Alief Daniel Haqim Abdullah, 26, dari Batu Pahat, Johor, ditemui meninggal dunia dalam keadaan terperangkap di bahagian pemandu jengkaut berkenaan pada jam 4.10 petang.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu menerusi panggilan MERS NG999 kira-kira jam 2.10 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati jengkaut berkenaan dipercayai terbalik ketika mangsa sedang melakukan kerja-kerja pembersihan pokok rasau dalam kawasan Tasik Bera.
Katanya, mangsa yang juga operator jengkaut ketika itu menjalankan kerja berkenaan bersama seorang rakannya.
“Rakan mangsa, Muhammad Aiman Fikri Mohd Azhar, 28, berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa tenggelam bersama jengkaut dan dipercayai lemas,” katanya.
Difahamkan, mangsa baru empat hari melakukan kerja-kerja pembersihan pokok rasau di kawasan tasik berkenaan sebelum kejadian berlaku.

Beliau berkata, Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dibuka di Tasik Bera pada jam 3.15 petang sebelum operasi pencarian dijalankan dengan kerjasama polis, bomba, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta orang awam.
“Mangsa ditemui meninggal dunia dalam keadaan terperangkap di bahagian pemandu jengkaut yang tenggelam pada jam 4.10 petang.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis pada jam 4.40 petang sebelum operasi SAR ditamatkan pada jam 4.50 petang,” katanya.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Bera untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.-SAHIH
#kw: Tasik Bera, jengkaut terbalik, pokok rasau, operator maut
