RM80,000 sokong Piala Safee Sali cungkil bakat muda
RM80,000 sokong Piala Safee Sali cungkil bakat muda
Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM80,000 menerusi Geran Padanan Sukan bagi menyokong penganjuran Kejohanan Bola Sepak Belia Bawah 16 Tahun (U-16) Piala Safee Sali yang julung kali dianjurkan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, sokongan itu mampu memperkukuh usaha mencungkil serta membangunkan lebih ramai bakat muda sebagai pelapis bola sepak negara.
Menurutnya, kementerian berharap kejohanan seumpama itu dapat diteruskan pada skala lebih besar pada masa akan datang.
“Insya-Allah, untuk tahun hadapan, kita harap agar program-program seperti ini dapat berlangsung dengan skala yang besar dan juga berterusan untuk pembangunan bakat bola sepak negara.
“Ini sesuai dengan aspirasi Kementerian Belia dan Sukan di bawah program-program yang kita laksanakan seperti National Football Development Programme (NFDP) dan program pembangunan bakat yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Kejohanan Bola Sepak Belia U-16 Piala Safee Sali di Putrajaya, hari ini.
Sementara itu, legenda bola sepak negara Safee Sali berkata, pemain yang menyerlah sepanjang kejohanan akan diberi peluang menjalani latihan serta mendapat pendedahan lanjut bersamanya.
Menurutnya, kejohanan itu menjadi medan mengenal pasti bakat baharu menerusi format permainan dalam ruang lebih kecil yang membolehkan pemain lebih banyak menyentuh bola dan bersaing secara kompetitif.
“Kejohanan pada hari ini adalah satu platform sesi pemilihan untuk bawah 16 yang saya buat berdasarkan small-sided game.
“Saya nak lihat mereka bermain lebih sentuhan, lebih kompetitif dalam ruangan yang lebih kecil,” katanya.
Kejohanan berkenaan menghimpunkan 160 pemain bawah 16 tahun membabitkan 16 pasukan termasuk dari Perak, Johor, Selangor dan sekitar Lembah Klang.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Piala Safee Sali, KBS, bola sepak, bakat muda
