Sultan Nazrin, Tuanku Zara berkenan lepaskan 1,500 peserta KKD Moves 2026
Sultan Nazrin, Tuanku Zara berkenan lepaskan 1,500 peserta KKD Moves 2026
Kuala Lumpur: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke acara larian KKD Moves 2026 anjuran Kor Kesihatan Diraja (KKD) Tentera Darat Malaysia (TDM), di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.
Baginda berdua turut berkenan melepaskan kira-kira 1,500 peserta bagi larian sejauh lima kilometer pada 7.40 pagi.
KKD Moves 2026 diadakan bersempena sambutan Hari Ulang Tahun Ke-59 Kor Kesihatan Diraja, selain menjadi platform menghimpunkan elemen kesihatan, kecergasan dan kesejahteraan warga TDM bersama masyarakat.
Program itu turut bertujuan memperkenalkan peranan Kor Kesihatan Diraja kepada masyarakat, membudayakan gaya hidup sihat serta memperkukuh hubungan strategik antara warga tentera, agensi kerajaan dan orang awam.
Seramai 200 pegawai dan 650 anggota TDM menyertai program berkenaan, selain 650 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan serta orang awam.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh.
Sultan Nazrin yang juga Kolonel Yang Dipertua Kor Kesihatan Diraja bersama Tuanku Zara turut berkenan melawat pelbagai reruai berkaitan perkhidmatan kesihatan ketenteraan yang disediakan sempena program berkenaan.
Antara pameran yang menjadi tarikan ialah Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta beberapa aset dan peralatan berkaitan Kor Kesihatan Diraja.
KKD Moves 2026 merupakan acara larian santai lima kilometer yang mengetengahkan gaya hidup aktif, semangat berpasukan serta kesedaran mengenai kesihatan dalam komuniti.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Sultan Nazrin, KKD Moves, Kor Kesihatan Diraja, TDM
