Tak boleh tolak ansur rasuah, ‘sakau’ wang negara – Anwar
Tak boleh tolak ansur rasuah, ‘sakau’ wang negara – Anwar
Bangi: Kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap rasuah dan perbuatan mengambil kekayaan negara untuk kepentingan peribadi, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pendirian itu perlu dipertahankan meskipun kerajaan akur dengan semangat Perlembagaan Persekutuan serta keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung kes membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya, penghormatan terhadap keputusan berkenaan tidak menghalang seorang Perdana Menteri memberikan pandangan dan nasihat berdasarkan hukum, undang-undang serta kepentingan negara.
“Bila kita bincang soal yang menjadi kontroversi baru-baru ini tentang keputusan Yang di-Pertuan Agong mengenai kes Datuk Seri Najib, tentu saya sebagai Perdana Menteri saya akur dengan semangat Perlembagaan dan keputusan Yang di-Pertuan Agong.
“Tetapi ia tidak menghalang, umpamanya seorang Perdana Menteri memberikan pandangan dan nasihat berdasarkan hukum, undang-undang dan gesaan.
“Apa nak kita sampaikan? Negara ini tidak boleh tolak ansur dengan rasuah dan amalan sakau wang negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi 3 Generasi: Menyambung Legasi Perjuangan di sini, malam Sabtu.
Anwar turut merujuk beberapa isu membabitkan institusi yang pernah mendapat perhatian awam termasuk Lembaga Tabung Haji, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau menegaskan individu yang didakwa mengambil atau membolot kekayaan negara perlu bertanggungjawab atas perbuatan mereka.
“Tabung Haji, FELDA, 1MDB, orang yang membolot kekayaan, harus menjawab.
“Jadi apa juga keputusan, tidak harus beralih untuk menyelamatkan negara kita,” katanya.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Anwar, rasuah, Najib, 1MDB
