Bekas COO TH didakwa terima ubah suai rumah RM302,499
Bekas COO TH didakwa terima ubah suai rumah RM302,499
Shah Alam: Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas tiga pertuduhan menerima manfaat berupa kos pengubahsuaian tiga rumah berjumlah RM302,499.27.
Adi Azuan, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, semalam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh ketika menjawat jawatan COO TH didakwa menerima kos pengubahsuaian tiga rumah masing-masing bernilai RM235,866.58, RM50,698.74 dan RM15,933.95.
Manfaat berkenaan didakwa diterima daripada Pengarah AG Reka Sdn Bhd, Thamsulazri Ismail yang diketahui mempunyai urusan berkaitan tugas tertuduh.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 7 Mac 2017 di tiga kediaman masing-masing di Shah Alam, Kota Damansara dan Subang Jaya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Adi Azuan diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin selain diperintahkan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya setiap tiga bulan dan tidak menghubungi saksi sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 25 November depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Terdahulu, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 diumumkan kepada umum pada 29 Julai lalu.
Laporan setebal 211 muka surat itu antara lain mengandungi dapatan serta cadangan penambahbaikan terhadap pengurusan dan operasi institusi berkenaan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: TabungHaji Mahkamah AdiAzuan RCI
