Kawal selia AI dalam TVET perlu diperkukuh
Kawal selia AI dalam TVET perlu diperkukuh
Shanghai: Pembentukan rangka kerja dan kawal selia Kecerdasan Buatan (AI) secara beretika dalam ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperkukuh bagi memastikan teknologi itu dimanfaatkan secara selamat serta terkawal.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, isu kawal selia AI serta potensi integrasinya dalam pelbagai sektor antara perkara utama dibincangkan menerusi sesi meja bulat sempena WorldSkills Competition (WSC) Shanghai 2026.
Menurutnya, pendekatan antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) juga penting dalam usaha merangka garis panduan berasaskan kerangka kerja yang kukuh.
“Kawal selia itu amat penting dalam bidang kecerdasan buatan kerana selama ini mungkin kita tidak memberi penekanan dari sudut kawal selia berkenaan.
“Ini antara perkara yang perlu dibantu dan diperkemas kini,” katanya.
Khairul Firdaus yang juga Pengerusi Majlis Pertandingan Kemahiran Malaysia (MPKM) berkata demikian ketika menghadiri WSC Shanghai 2026 di National Exhibition and Convention Center.
Dalam perkembangan sama, beliau meluahkan rasa bangga terhadap semangat juang dan disiplin tinggi dipamerkan 22 peserta Kontinjen Malaysia pada hari pertama saingan.
Beliau menyifatkan persiapan kontinjen negara bagi edisi kali ini sebagai antara yang paling mantap dan rapi serta optimis Malaysia mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas.
“Daripada sudut semangat, nampaknya bagus dan persiapan juga lebih rapi kali ini.
“Harapan kita semua pastinya untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu emas, tetapi apa yang lebih penting adalah memberikan mereka pendedahan,” katanya.
Menurutnya, selain memburu pingat, kejohanan itu menjadi platform penting bagi belia tempatan memperoleh pengalaman antarabangsa serta membina rangkaian kerjasama dengan pakar dan pemain industri terkemuka dunia.
WSC Shanghai 2026 berlangsung dari 22 hingga 27 September dengan menghimpunkan kira-kira 1,400 profesional muda berkemahiran dari 65 negara dan wilayah dalam 64 bidang kemahiran.
Malaysia diwakili 22 peserta muda yang berentap dalam 21 bidang kemahiran bertaraf antarabangsa.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: AI TVET WorldSkills Malaysia
