RUU ganti AUKU dijangka dibentang Disember
RUU ganti AUKU dijangka dibentang Disember
Kuala Lumpur: Bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat Disember ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kementerian kini giat melengkapkan siri libat urus secara menyeluruh dengan pelbagai pihak berkepentingan sebelum RUU berkenaan dibawa ke Parlimen.
“Dari segi timeline, kita akan cuba berusaha untuk sama ada boleh kita lakukan bacaan pertama mungkin dalam sidang Parlimen bulan 12.
“Tapi saudara-saudari harus ingat, ia akan melibatkan dari segi libat urus yang sangat-sangat besar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan dan Inovasi Universiti (URIIS) 2026.
Menurut Zambry, penggubalan akta baharu itu tidak hanya tertumpu kepada isu kebebasan mahasiswa, sebaliknya merangkumi struktur pentadbiran, tadbir urus universiti dan aspek akademik secara keseluruhan.
Katanya, AUKU mengandungi 44 seksyen dengan hanya tujuh daripadanya membabitkan mahasiswa, manakala selebihnya berkaitan penubuhan universiti, tadbir urus, akademik serta aspek lain dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.
“Apabila kita bercakap tentang AUKU yang hendak dipinda itu, ia melibatkan 44 seksyen, yang mana tujuh seksyen itu melibatkan mahasiswa.
“Tapi yang lain itu melibatkan dari segi penubuhan universiti, tadbir urus universiti, dari segi akademik dan lain-lain lagi.
“Apabila kita nak buat sesuatu akta yang baharu, dia mesti mengambil kira keseluruhan aspek ekosistem yang ada di dalam sistem pendidikan tinggi negara,” katanya.
Zambry berkata, siri libat urus terbaharu turut diadakan bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas, termasuk daripada wakil kerajaan serta pembangkang.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: AUKU Zambry Parlimen PendidikanTinggi
