SPRM himpun 50 kajian antirasuah jadi rujukan dasar
SPRM himpun 50 kajian antirasuah jadi rujukan dasar
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membangunkan laporan kompilasi menghimpunkan dapatan penyelidikan berkaitan tatakelola, integriti dan antirasuah untuk dijadikan rujukan dalam penambahbaikan dasar serta proses kerja.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, sebanyak 50 tajuk penyelidikan dipilih dan dilaksanakan oleh entiti penyelidikan tempatan menerusi geran di bawah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) bagi tempoh 2020 hingga 2025.
Menurutnya, Laporan Kompilasi Persidangan bagi 2022 hingga 2025 itu dibangunkan bagi memastikan hasil penyelidikan berkenaan dapat dimanfaatkan secara lebih meluas dan tidak hanya terhenti pada peringkat pembentangan persidangan.
“Laporan kompilasi ini menghimpunkan apa jua hasil dan juga dapatan penyelidikan yang telah dibentangkan sepanjang tempoh tersebut.
“Ia adalah sebagai sumber rujukan dan perkongsian ilmu dalam usaha memperkukuhkan agenda tatakelola, integriti dan juga pencegahan rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Kelima di Pusat Konvensyen Putrajaya, Jumaat.
Abd Halim berkata, dapatan kajian berkenaan mampu membantu kerajaan mengenal pasti kelemahan sistem, menilai risiko rasuah serta mengukur keberkesanan dasar sedia ada.
Katanya, penyelidikan berkualiti dengan sokongan data sahih juga penting bagi memastikan penggubalan dasar awam dibuat berasaskan bukti dan penilaian objektif.
Persidangan bertemakan ‘MADANI Pemangkin Tatakelola Berintegriti ke Arah Malaysia Bebas Rasuah’ itu menghimpunkan penyelidik daripada enam universiti tempatan.
Ia membabitkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Persidangan itu turut menjadi platform memperkukuh kerjasama antara penyelidik, pembuat dasar, pengamal serta pihak berkepentingan dalam usaha pencegahan rasuah.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: SPRM, antirasuah, tatakelola, penyelidikan
