MILF, Filipina capai persetujuan baharu jayakan damai Bangsamoro
MILF, Filipina capai persetujuan baharu jayakan damai Bangsamoro
Kuala Lumpur: Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kerajaan Filipina mencapai beberapa persetujuan baharu bagi memajukan pelaksanaan perjanjian damai Bangsamoro dalam mesyuarat khas di sini, Jumaat.
Pengerusi Panel Pelaksana Damai MILF, Mohagher Iqbal berkata, antara persetujuan dicapai ialah memperbaharui mandat Kumpulan Tindakan Bersama Ad Hoc (AHJAG) dan Komponen Perlindungan Awam (CPC), selain meluluskan rangka kerja berkaitan senjata ringan serta jenis senjata lain.
Menurutnya, kemajuan pada Mesyuarat Khas Panel Pelaksana Damai kerajaan Filipina (GPH)-MILF itu turut membantu memperkukuh kepercayaan dan keyakinan antara kedua-dua pihak.
“Walaupun kami tidak bersetuju dalam beberapa perkara, secara keseluruhannya beberapa perkara berjaya dipersetujui dan ia membolehkan kedua-dua pihak melihat pertemuan ini sebagai langkah positif ke hadapan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.
Mengenai prospek Perjanjian Penamatan (Exit Agreement), Iqbal berkata, tiada tempoh masa khusus ditetapkan kerana pemeteraiannya bergantung kepada kedua-dua pihak memenuhi komitmen masing-masing di bawah Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB).
Katanya, perjanjian itu akan menandakan berakhirnya rundingan antara kerajaan Filipina dan MILF selepas ketetapan di bawah CAB dilaksanakan secara menyeluruh.
“Bagi MILF, semuanya sudah diselesaikan dan kuncinya adalah melaksanakan CAB secara jujur serta penuh komitmen dalam semua aspek,” katanya.
Mesyuarat khas itu adalah susulan pertemuan kedua-dua panel di Davao City pada 4 Ogos lalu yang menyaksikan Deklarasi Kesinambungan Perkongsian ditandatangani serta persetujuan mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur.
Delegasi kerajaan Filipina diketuai Penasihat Presiden mengenai Keamanan, Rekonsiliasi dan Perpaduan, Setiausaha Mel Senen Sarmiento manakala Iqbal mengetuai delegasi MILF.
Fasilitator Malaysia dalam proses damai itu, Jeneral (B) Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin turut hadir.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: MILF, Bangsamoro, Filipina, proses damai
