Urusan perniagaan bakal sepenuhnya dalam talian
Urusan perniagaan bakal sepenuhnya dalam talian
Petaling Jaya: Kerajaan sedang mengkaji semula proses dan sistem sedia ada bagi membolehkan urusan permohonan perniagaan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian sekali gus mengurangkan birokrasi serta ruang berlakunya rasuah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, langkah itu juga bagi memastikan usahawan tidak lagi perlu membuang masa menghubungi pegawai berkaitan hanya untuk mendapatkan perkembangan terkini permohonan mereka.
Menurutnya, prosedur tidak perlu akan dihapuskan bagi mengurangkan beban pentadbiran sektor perniagaan selain membantu menjimatkan masa dan kos.
“Jika sektor perniagaan diharapkan menyesuaikan diri dan melakukan penambahbaikan, kerajaan juga perlu bersedia meningkatkan sistem penyampaiannya.
“Saya mungkin tidak mempunyai wang tunai untuk diberikan kepada anda, tetapi saya berjanji mengkaji semula proses, membanteras rasuah dan menghapuskan prosedur tidak perlu supaya urusan perniagaan menjadi lebih mudah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelantikan dan Malam Ulang Tahun ke-34 Persatuan Rantaian Peruncitan Malaysia (MRCA), Jumaat.
Hannah berkata, beberapa perubahan pentadbiran secara praktikal sudah dilaksanakan bagi memberi lebih kepastian kepada pemilik perniagaan.
Antaranya, lesen perniagaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mereka yang layak kini boleh diperbaharui sehingga tiga tahun dengan diskaun lima peratus bagi pembaharuan dua tahun dan 10 peratus untuk tempoh tiga tahun.
Dalam usaha merancakkan sektor hiburan dan penganjuran acara di Kuala Lumpur pula, kadar deposit bagi konsert serta persembahan tempatan dikurangkan sebanyak 70 peratus.
Menyentuh perkembangan sektor peruncitan, Hannah menggesa peruncit fizikal menyesuaikan operasi dengan perubahan tingkah laku pengguna termasuk menjadikan pusat beli-belah sebagai hab komuniti yang menawarkan pengalaman makanan, budaya dan hiburan.
Beliau turut menyarankan perniagaan tradisional mengambil pekerja muda bagi membantu proses pendigitalan susulan peningkatan penggunaan e-dompet dan platform pembelian dalam talian dalam kalangan pengguna.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: perniagaan, birokrasi, digital, Hannah Yeoh
