HMS Spey perkukuh kerjasama pertahanan UK-Malaysia
HMS Spey perkukuh kerjasama pertahanan UK-Malaysia
Pelabuhan Klang: Britain terus memperkukuh kerjasama pertahanan dengan Malaysia menerusi latihan ketenteraan bersama, keterlibatan maritim dan pertukaran profesional, termasuk penyertaan kapal peronda Tentera Laut Diraja British, HMS Spey dalam Latihan Bersama Lima.
Pegawai Pemerintah HMS Spey, Komander Daniel Briscoe berkata, penugasan berterusan kapal itu di Indo-Pasifik mencerminkan komitmen UK untuk membina hubungan jangka panjang dengan rakan serantau, khususnya Malaysia.
“Kami bukan sekadar melalui rantau ini, sebaliknya berada di sini untuk bekerjasama dengan sekutu, belajar antara satu sama lain dan membina kepercayaan yang membolehkan kami beroperasi bersama apabila diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis resepsi anjuran Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ajay Sharma di atas HMS Spey di Terminal Pelayaran Pelabuhan Klang (PKCT), Khamis.
Menurut Briscoe, HMS Spey akan menyertai Latihan Bersama Lima bersama HMS Tamar dengan kedua-dua kapal berkenaan mewakili Tentera Laut Diraja British dalam latihan tahun ini.
Katanya, Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) kekal menjadi teras hubungan pertahanan UK-Malaysia dengan latihan pelbagai negara yang semakin kompleks membantu meningkatkan keupayaan saling kendali dan kesiapsiagaan negara peserta.
Sementara itu, Penasihat Pertahanan Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia, Kolonel James Green berkata, HMS Spey turut dijadual mengadakan latihan dua hala ringkas dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum menyertai Latihan Bersama Lima.
Katanya, kunjungan kapal berkenaan sejak 22 September turut membabitkan program bersama TLDM termasuk lawatan ke kapal dan pertukaran antara pegawai kadet Malaysia dengan pegawai muda Tentera Laut Diraja British.
Green berkata, Malaysia dan UK turut berkongsi kepentingan dalam keselamatan maritim serta kelancaran pergerakan barangan melalui perairan antarabangsa.
Beliau berkata, pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) penting bagi melindungi laluan perkapalan dan kestabilan ekonomi serantau.
HMS Spey ialah kapal peronda luar pesisir kelas River Batch 2 yang ditempatkan di Indo-Pasifik sejak 2021 bersama HMS Tamar.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: HMS Spey, FPDA, TLDM, UK-Malaysia
