Pesta Bola Merdeka Eratkan Hubungan Generasi FELDA
Pesta Bola Merdeka Eratkan Hubungan Generasi FELDA
JERANTUT – Arena Kesidang, Felda Jengka 8 meriah dengan penganjuran Pesta Bola Merdeka Tertutup Felda Jengka 08 (Kesidang) yang menjadi aktiviti tahunan ambang merdeka, menggabungkan generasi lama dan baharu komuniti setempat.
Program bermula jam 8 pagi hingga 6 petang itu dirasmikan Penolong Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Tuan Haji Razak Daud yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut.
Menariknya, setiap pasukan diwajibkan menurunkan gabungan pemain veteran berusia 50 tahun ke atas serta pemain muda berusia 12 hingga 15 tahun bagi memupuk kerjasama antara generasi dalam suasana penuh semangat kesukanan.

Sebanyak enam pasukan berentap dalam kejohanan itu yang menjadi medan mengeratkan hubungan komuniti Felda serta memberi peluang kepada bakat muda memperlihatkan kebolehan di samping mendapat tunjuk ajar daripada pemain berpengalaman.
Menurut penganjur, tujuan utama pesta bola ini adalah untuk mengukuhkan silaturahim antara generasi baharu Felda dengan komuniti, selain mengisi sambutan kemerdekaan dengan aktiviti sihat.
Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jerantut, Tuan Haji Mohd Izzat Ilzam Dato’ Rosidi; Pengerusi JPKK Felda Jengka 8, Saharin Othman; Pengurus Felda, Khairol Sauqid Azmi; dan Pengerusi Belia Daerah Jerantut, Jamil Mat Daut.
Acara itu turut mendapat sokongan badan-badan komuniti Felda Jengka 8, Ahli Jawatankuasa Bahagian serta Pemuda UMNO Bahagian Jerantut.

Pesta Bola Merdeka bukan sahaja menjadi platform sukan, malah simbol kebersamaan dan semangat patriotisme warga Felda sekali gus mengangkat bola sepak sebagai jambatan menghubungkan masyarakat pelbagai lapisan umur di tanah rancangan. – SAHIH