Lima teras pacu SPRM perangi rasuah era baharu
Lima teras pacu SPRM perangi rasuah era baharu
PUTRAJAYA: “Kita tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja, baik di luar mahupun di dalam.”
Itu penegasan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman yang menggariskan lima teras utama sebagai hala tuju pentadbirannya dalam mendepani landskap jenayah rasuah yang semakin kompleks.
Lima teras itu merangkumi integriti tanpa kompromi, penguatkuasaan adil dan saksama, pencegahan proaktif, penerapan teknologi serta ketelusan dan kepercayaan rakyat.
Abd Halim berkata, perubahan dinamik jenayah rasuah menuntut SPRM sentiasa tangkas melakukan transformasi selain menyesuaikan kaedah siasatan supaya kekal relevan menghadapi cabaran era baharu.
“Integriti tanpa kompromi, kita tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja, baik di luar, baik di dalam. Kita tetap mengutamakan proses undang-undang iaitu Rule of Law,” katanya dalam wawancara sempena ulang tahun ke-59 SPRM.
Menurutnya, prinsip penguatkuasaan adil turut diterjemahkan menerusi keputusan menggantung pemakaian baju lokap berwarna oren terhadap Orang Kena Siasat (OKS) ketika dibawa ke mahkamah bagi proses reman.
Langkah itu bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap individu yang masih berada pada peringkat siasatan.
Katanya, SPRM pada masa sama memperkukuh pencegahan secara proaktif dengan mengenal pasti kelemahan sistem dan menutup ruang ketirisan sebelum masalah rasuah menjadi lebih serius.
Usaha itu turut merangkumi pendidikan serta kesedaran masyarakat supaya memahami risiko dan kesan rasuah, selain mengetahui saluran betul untuk menyalurkan maklumat.
Abd Halim berkata, penggunaan teknologi, pendigitalan, analitik data dan kecerdasan buatan (AI) turut diperkasakan bagi meningkatkan kecekapan operasi serta ketelusan siasatan.
Dalam aspek penguatkuasaan, SPRM juga beralih daripada sekadar menunggu aduan kepada pendekatan lebih proaktif menerusi Siasatan Berasaskan Risikan (IBI) bagi mengenal pasti dan membongkar kegiatan rasuah lebih awal.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: SPRM, Abd Halim Aman, rasuah, integriti
