FIA puas hati persiapan GP Bahrain di Sepang
FIA puas hati persiapan GP Bahrain di Sepang
KUALA LUMPUR: Persiapan pantas Sepang International Circuit (SIC) bagi menganjurkan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 mendapat pujian Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) menjelang perlumbaan hujung minggu ini.
Pengurus Besar Bahrain Motor Federation (BMF), Abdulaziz Al Thawadi berkata, Pengarah Perlumbaan F1 FIA, Rui Marques sudah mengadakan pertemuan dengan pihak penganjur pada Isnin lalu bagi meneliti persiapan akhir perlumbaan yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober ini.
Menurutnya, pihak FIA berpuas hati melihat perubahan dan tahap kesiapsiagaan SIC, lebih-lebih lagi Malaysia hanya mempunyai tempoh kira-kira 60 hari untuk menyediakan venue berkenaan.
“Mereka gembira apabila datang dan melihat Sepang yang kali terakhir menganjurkan F1 hampir 10 tahun lalu, kini kembali bersedia untuk perlumbaan.
“Semalam, Pengarah FIA turut datang dan kami mengadakan pertemuan dengannya. Beliau sangat gembira dengan persiapan yang dilakukan.
“Mereka (Malaysia) mencuba sebaik mungkin walaupun hanya mempunyai kira-kira 60 hari. Tekanannya sangat tinggi, tetapi mereka bekerja keras untuk memastikan semuanya siap dan perlumbaan ini dapat dilaksanakan,” katanya dalam temu bual bersama Bernama, Selasa lalu.
Al Thawadi turut memuji kerjasama serta bantuan diberikan petugas tempatan sepanjang proses persiapan perlumbaan.
Katanya, SIC juga memberikan sedikit rasa ‘seperti di rumah sendiri’ kepada pasukan Bahrain kerana terdapat beberapa persamaan dengan Bahrain International Circuit (BIC) di Sakhir.
Ini kerana kedua-dua litar berkenaan direka pereka litar terkenal dari Jerman, Hermann Tilke.
“Ada beberapa tempat apabila anda berjalan di Sepang, anda akan berkata, ‘ini seperti Bahrain’. Dari segi susun atur dan beberapa aspek teknikal, ada persamaannya,” katanya.
Grand Prix Bahrain pada asalnya dijadualkan berlangsung di Sakhir pada April lalu, namun dibatalkan susulan konflik di Asia Barat sebelum perlumbaan berkenaan dipindahkan ke SIC.
Sepang kali terakhir menjadi gelanggang perlumbaan F1 pada 2017.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: F1 Sepang, GP Bahrain, FIA, Abdulaziz Al Thawadi
