Satu data, satu piawaian untuk jalan raya negara
Satu data, satu piawaian untuk jalan raya negara
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang membangunkan Platform Rujukan Nasional Maklumat Jalan Raya menerusi inisiatif MyJalan bagi menyatukan data jalan raya di seluruh negara dalam satu ekosistem bersepadu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, platform itu akan menghimpunkan data daripada Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat konsesi lebuh raya serta pemilik jalan lain.
“Matlamat kita adalah untuk mempunyai satu gambaran menyeluruh mengenai jalan raya di Malaysia, dengan satu data, satu piawaian dan satu ekosistem data jalan raya nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena MyASEAN Roads and Traffic Tech Expo (MyARTTE) 2026, di sini.
Sebelum itu, Alexander mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat Agenda Data Nasional MyJalan selain menyaksikan pertukaran dokumen Deklarasi Data Aset Jalan (DDJ) antara KKR dengan kerajaan negeri yang mengambil bahagian.
Menurutnya, lebih separuh daripada negeri sudah menyertai inisiatif berkenaan termasuk Pulau Pinang, manakala lima negeri lagi masih belum menyertainya secara rasmi.
“Pada masa ini masih ada lima negeri yang belum menyertai secara rasmi, tetapi saya yakin mereka juga akan bersama. Mereka hanya memerlukan sedikit lagi masa,” katanya.
Alexander berkata, antara keutamaan segera ialah memperjelas sempadan pemilikan jalan menerusi pemetaan Sistem Maklumat Geografi (GIS) yang seragam.
Katanya, pemilik aset jalan juga perlu memastikan pangkalan data masing-masing lengkap dan dikemas kini secara berkala berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI), pelan tindakan serta garis masa ditetapkan.
Beliau berkata, data tepat penting bagi meningkatkan penyelenggaraan jalan, mengoptimumkan perancangan serta mempercepat tindakan terhadap aduan orang ramai, selain membantu mengurangkan kesesakan dan risiko kemalangan maut.
Pada masa sama, Alexander menegaskan kerjasama antara agensi perlu diperkukuhkan bagi mengelakkan pertindihan bidang kuasa dan budaya bekerja secara silo.
Menurutnya, inisiatif seperti MyJalan dan Dasar Tiada Pintu Salah (No Wrong Door Policy) penting bagi memastikan kerajaan menyusun sistem penyampaian berdasarkan keperluan rakyat, bukannya sempadan institusi.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: MyJalan, data jalan raya, Alexander Nanta Linggi, KKR
