Russell, Antonelli meriahkan Mercedes-AMG F1 Party
Russell, Antonelli meriahkan Mercedes-AMG F1 Party
KUALA LUMPUR: Kehadiran dua pelumba Mercedes-AMG PETRONAS, George Russell dan Kimi Antonelli mencuri tumpuan pada Mercedes-AMG Formula One Party di Raintree Plaza, The Exchange TRX, di sini, malam tadi.
Walaupun hujan renyai, ia tidak menghalang peminat sukan permotoran membanjiri lokasi bagi merasai sendiri kemeriahan acara berkenaan menjelang saingan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang.
Acara yang bermula kira-kira jam 8 malam itu menghimpunkan elemen sukan permotoran dan hiburan dalam satu pentas, selain memberi peluang kepada peminat melihat lebih dekat jentera F1 Mercedes-AMG.
Majlis dimulakan dengan ucapan ringkas Ketua Pegawai Operasi Mercedes-Benz Cars Malaysia, Kevin Barbian sebelum diteruskan dengan pelbagai pengisian termasuk persembahan artis tempatan dan antarabangsa.
Namun, suasana bertukar lebih meriah sebaik Russell dan Antonelli muncul di pentas dengan kedua-dua pelumba berkenaan menerima sambutan hangat daripada peminat yang hadir.
Kehadiran mereka turut memberi peluang kepada peminat tempatan mendekati bintang F1 berkenaan, selain menyemarakkan lagi keterujaan menjelang perlumbaan hujung minggu ini.
Mercedes-Benz antara jenama automotif yang turut mengambil kesempatan menghangatkan suasana menjelang saingan F1 menerusi penganjuran acara eksklusif berkenaan.
Saingan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dari 2 hingga 4 Oktober ini.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Mercedes-AMG, George Russell, Kimi Antonelli, Formula Satu
