Penterjemah, pegawai penghubung bantu kontinjen Sukan SEA 2027
Penterjemah, pegawai penghubung bantu kontinjen Sukan SEA 2027
Kuching: Sarawak akan memastikan aspek komunikasi tidak menjadi penghalang kepada kontinjen negara luar apabila menyediakan khidmat penterjemah serta pegawai penghubung sepanjang penganjuran Sukan SEA 2027.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kemudahan itu penting khususnya bagi membantu kontinjen dari negara Asia Tenggara yang mungkin tidak memahami Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.
Menurutnya, pegawai penghubung turut akan ditempatkan bersama setiap kontinjen bagi membantu mereka mendapatkan maklumat, panduan serta keperluan sepanjang temasya berlangsung.
“Sudah tentu kita perlu menyediakan penterjemah kerana terdapat beberapa negara di Asia Tenggara yang mungkin tidak memahami Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.
“Pegawai penghubung yang akan mengurus dan menjaga setiap kontinjen juga akan berada di situ untuk membantu dan membimbing mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Kiraan Detik Setahun Menuju Sukan SEA 2027 Kluster Sarawak di sini, Jumaat malam.
Dalam perkembangan sama, Abdul Karim berkata Kompleks Sukan Sarawak bukan sahaja akan menjadi antara lokasi utama pertandingan, malah kawasan berkenaan turut dirancang sebagai pusat aktiviti sampingan berbentuk festival.
Katanya, antara pengisian yang bakal diketengahkan termasuk Malaysian Kitchen selain ruang jualan produk dan barangan tempatan.
Menurut beliau, pendekatan berkenaan bertujuan mewujudkan suasana lebih meriah dan menarik sepanjang temasya berlangsung, selain menjadikan Sukan SEA sebagai platform memperkenalkan produk tempatan kepada pengunjung dan kontinjen luar negara.
Pada masa sama, ia turut membuka peluang kepada usahawan untuk mempamer serta memasarkan produk masing-masing kepada khalayak lebih luas.
Sarawak adalah antara penganjur bersama Sukan SEA Ke-34 yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Sukan SEA 2027, Sarawak, Abdul Karim, penterjemah
