Hotel Apsara Bukit Residen dibuka semula 5 Oktober, nostalgia Kuala Lipis kembali bernyawa
Hotel Apsara Bukit Residen dibuka semula 5 Oktober, nostalgia Kuala Lipis kembali bernyawa
KUALA LIPIS: Hotel Apsara Bukit Residen Kuala Lipis bakal dibuka semula pada 5 Oktober ini, sekali gus menghidupkan kembali sebuah lokasi penuh nostalgia yang suatu ketika dahulu cukup dikenali sebagai Rumah Rehat Bukit Residen.
Selepas sekian lama sepi, bangunan yang menyimpan pelbagai kisah dan kenangan masyarakat Kuala Lipis itu kini diberi nafas baharu menerusi pembangunan oleh Grand Apsara Development Sdn Bhd.
Lebih menarik, hotel berkenaan mengetengahkan konsep Victorian Style selari dengan nilai sejarah bangunan itu yang pernah menjadi kediaman Residen British, Hugh Clifford, sekali gus mengekalkan sentuhan klasik yang menjadi identiti lokasi berkenaan.

Pembukaan semula itu dilaksanakan secara berperingkat dengan peringkat pertama memberi tumpuan kepada kemudahan penginapan membabitkan 17 bilik.
Pembangunan peringkat kedua pula akan menyaksikan pembukaan restoran, kafe dan kolam renang, sekali gus melengkapkan kemudahan untuk tetamu dan pengunjung.
Pembukaan semula lokasi itu dijangka menggamit memori terutama dalam kalangan generasi lama yang pernah berkunjung, menginap, menghadiri majlis atau menjadikan Rumah Rehat Bukit Residen sebagai tempat persinggahan suatu ketika dahulu.

Sejak berita mengenai pembukaan semula itu dikongsikan, ramai warga Kuala Lipis turut berkongsi kenangan masing-masing, membuktikan lokasi terbabit masih mempunyai nilai sentimental tersendiri dalam kalangan masyarakat setempat.
Pengarah Grand Apsara Development Sdn Bhd, Nor Asmira Azharuddin berkata, usaha menghidupkan semula lokasi berkenaan bukan sekadar membawa nama baharu, malah mengembalikan sebuah tempat yang sarat dengan sejarah dan cerita masyarakat Kuala Lipis.
“Tempat ini mempunyai begitu banyak kenangan buat masyarakat Kuala Lipis.

“Harapan kami, Hotel Apsara Bukit Residen bukan sahaja menjadi tempat untuk menginap, tetapi turut menjadi tempat mencipta kenangan baharu untuk generasi akan datang,” katanya.
Menurutnya, sempena soft opening, hotel berkenaan menawarkan diskaun 20 peratus bagi semua kategori bilik sehingga 30 November 2026.
Bilik Standard Queen dan Standard Twin yang masing-masing berharga RM190 ditawarkan pada harga promosi RM152, manakala Standard Triple daripada RM260 kepada RM208.
Bagi Deluxe Quadruple, harga promosi ditawarkan pada RM280 berbanding RM350, sementara Family Room untuk enam orang pula daripada RM500 kepada RM400.

Hotel itu turut menawarkan VIP Room lengkap dengan ruang dewan dan balkoni pada harga promosi RM480, berbanding harga asal RM600.
Orang ramai yang ingin membuat tempahan atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi 09-308 6887 atau 011-6194 6200.
Pembukaan semula itu sekali gus memberi peluang kepada generasi lama kembali menjejak sebuah lokasi yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka, manakala generasi baharu pula berpeluang mencipta cerita tersendiri di tempat sama.

Selepas sekian lama menyimpan seribu kisah, Hotel Apsara Bukit Residen kini kembali bernyawa — membawa nostalgia lama sambil membuka lembaran baharu buat Kuala Lipis.-SAHIH
#kw: Hotel Apsara, Bukit Residen, Kuala Lipis, promosi bilik
