Ilmu sahaja tak jamin akhlak – Anwar
Ilmu sahaja tak jamin akhlak – Anwar
PUTRAJAYA: Tahap pendidikan tinggi termasuk memiliki ijazah sarjana atau doktor falsafah (PhD) tidak semestinya menjamin seseorang mempunyai akhlak dan integriti yang kukuh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa skandal besar negara sebelum ini harus menjadi pengajaran bahawa ilmu dan kelayakan akademik perlu disertai kekuatan prinsip, sahsiah serta keperibadian.
Beliau berkata, individu yang terbabit dalam beberapa skandal membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Felda dan Tabung Haji bukan terdiri daripada mereka yang tidak berpendidikan.
“Selalunya yang terlibat itu bukan calang-calang orang, bukan dalam kalangan yang tidak terdidik.
“Hampir keseluruhannya siswazah, ada yang masters dan PhD. Maka pendidikan dan ilmu saja tidak menjamin peribadi dan akhlak yang mulia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2026 di sini, Khamis malam.
Anwar berkata, universiti bukan sekadar tempat menimba ilmu, sebaliknya medan membentuk mahasiswa berprinsip, mempunyai jati diri serta peka terhadap permasalahan masyarakat dan negara.
Menurutnya, mahasiswa perlu menggunakan tempoh pengajian untuk membina kekuatan dalaman supaya mampu menolak rasuah, salah guna kuasa dan kepincangan apabila memasuki alam pekerjaan.
Beliau turut mahu wujud kebangkitan semangat baharu dalam kalangan Generasi Z dengan tahap kesedaran tinggi untuk berkhidmat kepada masyarakat serta membawa perubahan positif.
Katanya, golongan muda perlu mempunyai kecintaan terhadap kebaikan dan keberanian menolak kebobrokan selain menggunakan ilmu untuk membela nasib rakyat.
Pada masa sama, mahasiswa daripada pelbagai kaum dan negeri diseru memelihara perpaduan serta memainkan peranan merapatkan jurang antara kaum, wilayah serta golongan kaya dan miskin.
Pada majlis itu, Anwar menyampaikan Anugerah Tokoh Siswa Negara kepada Mohamad Amar Aidid Mohd Zain dari Universiti Utara Malaysia (UUM), manakala Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) menerima Anugerah Sinergi Kepimpinan Siswa.
ATSN yang diperkenalkan asalnya sebagai Anugerah Tokoh Siswa sejak 2012 kini menjadi platform nasional mengiktiraf kecemerlangan mahasiswa dalam akademik, kepimpinan dan sumbangan kepada masyarakat serta negara.-SAHIH
#kw: Anwar Ibrahim, mahasiswa, ATSN 2026, integriti
