GULF AIR BUAT ‘FLY-PAST’ RENDAH SEMPENA F1 DI SEPANG
GULF AIR BUAT ‘FLY-PAST’ RENDAH SEMPENA F1 DI SEPANG
SEPANG: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bersedia mengendalikan pertambahan operasi penerbangan menjelang Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Navigasi Udara) CAAM, Zainul Abidin Maslan berkata, ia termasuk beberapa penerbangan tambahan yang membawa logistik pasukan perlumbaan.
Menurutnya, jumlah trafik udara ketika perlumbaan dijangka kekal terkawal dan pihaknya sudah membuat persediaan bagi memastikan operasi penerbangan berjalan lancar.
Malah, pertunjukan udara khas atau ‘fly-past’ oleh Gulf Air turut dijadualkan berlangsung ketika hari perlumbaan, Ahad ini.
“Gulf Air akan melakukan ‘fly-past’ rendah ketika perlumbaan hendak dimulakan.
“Perkara itu sudah diselaraskan bersama pasukan kami termasuk pusat kawalan dan Menara Kawalan KLIA.
“Ia hanya akan menyebabkan gangguan sangat minimum kepada trafik udara dan kami bersedia mengendalikan operasi berkenaan pada hari perlumbaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Literasi CAAM-Media anjuran CAAM dan Malaysian Press Institute (MPI), di sini.
Sesi raptai bagi pertunjukan udara berkenaan dijadualkan berlangsung pada Rabu sebelum acara sebenar pada Ahad.
F1 sebelum ini mengesahkan Malaysia menjadi tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 di SIC dari 2 hingga 4 Oktober ini.
Sepang pernah menjadi gelanggang GP Malaysia selama 19 tahun bermula 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan berkenaan digugurkan daripada kalendar F1.
Dalam perkembangan lain, Zainul Abidin berkata, kerangka serta peraturan baharu berkaitan Ekonomi Altitud Rendah (LAE) dijangka diwartakan pada penghujung tahun ini atau awal tahun depan.
Katanya, garis panduan sedang dibangunkan CAAM bagi menjadi asas kepada penggunaan teknologi penerbangan termasuk dron, Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS), Mobiliti Udara Termaju (AAM) dan pertanian pintar.
CAAM sebelum ini turut mengadakan Forum LAE bagi mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada agensi berkaitan dalam membangunkan ekosistem berkenaan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: CAAM, F1 Sepang, Gulf Air, fly-past
