PROFESIONAL TAK BOLEH LEPAS TANGAN ISU KETIRISAN, RASUAH – ANWAR
PROFESIONAL TAK BOLEH LEPAS TANGAN ISU KETIRISAN, RASUAH – ANWAR
KUALA LUMPUR: Golongan profesional tidak boleh hanya mengejar kecemerlangan dalam bidang kepakaran masing-masing sehingga mengabaikan isu integriti, ketirisan dan keterlanjuran yang boleh menyebabkan negara mengalami kerugian besar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanggungjawab memastikan tatakelola negara berada pada landasan betul bukan hanya terletak pada pimpinan politik, malah turut membabitkan golongan profesional dan penjawat awam.
Menurutnya, kepincangan yang berlaku sebelum ini termasuk membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji dan FELDA menunjukkan golongan profesional juga mempunyai tanggungjawab terhadap perjalanan institusi negara.
“Bila kita lihat kepincangan-kepincangan yang lalu sama ada 1MDB, Tabung Haji, FELDA dan segala-galanya, ini sebenarnya, ya, pimpinan politik bertanggungjawab, golongan profesional pun tak terlepas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan dan Pameran Profesional 2026 (PROFEX 2026) dan Hari Ikhtisas Malaysia, di sini.
Anwar berkata, kecemerlangan menerusi kepakaran adalah satu kemestian selari dengan konsep itqan fil ‘amal, namun profesional tidak seharusnya terperangkap dalam pengkhususan keterlaluan sehingga tidak mempedulikan perkara yang berlaku di luar bidang mereka.
Katanya, kekuatan negara terletak pada golongan profesional daripada pelbagai disiplin, kaum dan wilayah yang mampu digembleng untuk meningkatkan produktiviti serta memperkukuh kesatuan rakyat.
“Apa yang hebat dalam negara ini? Hebatnya kerana golongan profesional itu dari pelbagai disiplin, pelbagai kaum, dari pelbagai wilayah.
“Badan-badan profesional pula menghimpunkan semua kekuatan, tidak lagi melihat dari sudut wilayah, kaum atau agama secara sempit,” katanya.
Beliau berkata, pimpinan politik, penjawat awam dan golongan profesional perlu bergerak sebagai satu pasukan bagi meningkatkan produktiviti, memperkemas tatakelola serta membendung ketirisan dan rasuah.
Pada majlis berkenaan, Anwar turut mengisytiharkan 29 September sebagai Hari Ikhtisas Malaysia bagi mengiktiraf serta menghimpunkan kekuatan golongan profesional dalam pembangunan negara.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Anwar Ibrahim, golongan profesional, integriti, Hari Ikhtisas
