Warga Thailand ditahan bersama 488 gram ganja di Plaza Tol Maran
MARAN – Seorang lelaki warga Thailand berusia 40 tahun diberkas dalam satu serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran di hadapan tandas awam Plaza Tol Maran, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Maran, Superitendan Wong Kim Wai, berkata tangkapan dibuat kira-kira jam 10.15 malam pada 26 Februari hasil risikan terperinci dan operasi oleh pasukan BSJN IPD Maran.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas beg galas milik suspek menemukan satu keratan bungkusan plastik lut sinar mengandungi ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah berbahaya jenis ganja seberat 488 gram.
“Suspek kini direman selama tujuh hari di lokap IPD Maran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau menegaskan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Maran tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
“Memiliki, mengedar serta melindungi aktiviti dadah adalah kesalahan serius di sisi undang-undang,” tegasnya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RAUB – Tiga daripada lima sekeluarga yang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, di sini, awal pagi tadi ditemukan di bilik air manakala dua lagi di luar rumah.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata mangsa yang ditemukan dalam bilik air ialah seorang lelaki dan wanita dewasa serta anak perempuan pasangan itu.
Beliau berkata, dua mangsa kanak-kanak perempuan yang ditemukan di luar rumah dua bilik itu dipercayai cuba menyelamatkan diri semasa kejadian.
“Dua kanak-kanak itu ditemukan sudah rentung di luar rumah sebaik sahaja bomba sampai pada 4.15 pagi.
“Tiga lagi dijumpai di dalam bilik air dengan kecederaan melecur selepas pemadaman penuh selesai,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Hadir sama, Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim.
Nor Hisham berkata, mangsa berkemungkinan menyedari kebakaran ketika api sudah marak yang menyukarkan mereka menyelamatkan diri.
“Siasatan awal mendapati laluan keluar tidak dipasang jeriji besi dan boleh dibuka dengan cepat. Kemungkinan besar mereka sedar semasa api sudah marak yang menyukarkan pandangan untuk melepaskan diri,” katanya.
Bagaimanapun, Nor Hisham berkata, siasatan lanjut termasuk bagi mengenal pasti jika terdapat unsur lain terbabit dalam kebakaran itu masih diteruskan dan akan turut menggunakan khidmat anjing pengesan.
Tinjauan Bernama mendapati dua anjing pengesan, iaitu Cleo dan Derry berada di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.
Terdahulu, Mohd Razam berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian pada 4.15 pagi dan operasi pemadaman berjaya mengawal api pada 4.48 pagi.
Beliau berkata kebakaran memusnahkan 100 peratus struktur rumah selain melibatkan masing-masing tiga kereta dan motosikal.
Sumber – BERNAMA.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RAUB – Lima individu ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah separuh kekal di No 38, Kampung Pamah Kulat, Jalan Ulu Dong, di sini, awal pagi hari ini. Kejadian kira-kira 3.44 pagi itu dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bergegas ke lokasi.
Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, jentera tiba pada 4.15 pagi selepas menempuh jarak 32 kilometer.
“Setibanya di lokasi, didapati benar berlaku kebakaran membabitkan sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 40×30 kaki persegi.
“Lima mangsa ditemukan rentung di dalam rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air daripada tangki pam jentera bomba.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada 4.48 pagi dan rumah berkenaan musnah sepenuhnya.
“Tiga kereta dan tiga motosikal turut terbakar dalam kejadian itu,” katanya. Operasi membabitkan sembilan anggota bersama dua jentera FRT dan satu unit EMRS dari BBP Raub, dengan bantuan lima anggota serta satu jentera FRT dari BBP Lipis.
Pegawai Penyiasat Kebakaran Zon Lipis sudah dimaklumkan untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.
Identiti mangsa akan dimaklumkan dalam sidang media di Raub.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MB Pahang pandang serius isu mahasiswa didakwa hina Nabi, al-Quran
KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memandang serius isu membabitkan tindakan seorang mahasiswa di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang dikaitkan dengan perbuatan menghina kemuliaan Nabi Muhammad SAW serta kesucian al-Quran.
Menurut Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, perbuatan sedemikian bukan sahaja amat mendukacitakan, malah lebih sensitif apabila didakwa berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia.
Beliau berkata, sebarang tindakan atau kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi mencetuskan ketegangan, menjejaskan keharmonian serta merosakkan asas perpaduan yang telah lama dibina dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
“Perkara seperti ini tidak wajar berlaku dalam apa jua keadaan, lebih-lebih lagi di institusi pengajian tinggi yang sepatutnya menjadi medan membentuk pemikiran matang dan nilai hormat-menghormati,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan pengurusan UMPSA untuk menjalankan siasatan serta menguruskan kes berkenaan secara menyeluruh, telus dan berlandaskan undang-undang serta peraturan sedia ada.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai, khususnya golongan muda agar sentiasa berfikir panjang dan berhati-hati dalam setiap tindakan serta perkongsian, terutama di ruang awam dan media sosial.
Katanya, orang ramai perlu mengelakkan diri daripada terlibat dalam sebarang perbuatan yang boleh menggugat keharmonian, kestabilan dan perpaduan masyarakat.
“Marilah kita bersama-sama memelihara semangat saling menghormati, memahami perbezaan serta menjunjung nilai kesopanan dan toleransi demi kesejahteraan negeri Pahang dan negara tercinta,” ujarnya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA KRAI: Seramai 200 keluarga asnaf, ibu tunggal dan mualaf di daerah ini bakal menerima bantuan menerusi Program Infaq Ramadan 1448H yang digerakkan Cempaka Merah Asnaf Society (CM Asnaf Society) bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pengerusi Mahabah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed yang mesra dipanggil Umi berkata, program berkenaan menawarkan tajaan lauk basah dan sekotak kurma bernilai RM50 bagi setiap keluarga sebagai persiapan berbuka puasa sepanjang Ramadan.
Mahabah Asnaf Society
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan meringankan beban golongan kurang berkemampuan yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
“Dengan RM50, penyumbang dapat menaja satu keluarga untuk menikmati nasi berlauk dan kurma ketika berbuka. Sasaran kami adalah 200 keluarga sekitar Kuala Krai yang sudah dikenal pasti layak menerima bantuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, agihan akan dibuat secara berperingkat dengan kerjasama NGO tempatan bagi memastikan bantuan sampai tepat kepada penerima.
Katanya, Ramadan adalah bulan terbaik untuk melipatgandakan amalan sedekah dan setiap sumbangan yang diberikan mampu membawa kegembiraan kepada keluarga yang memerlukan.
“Sedikit bagi kita mungkin tidak seberapa, tetapi besar maknanya buat mereka yang berdepan kekangan kewangan. Kami berharap lebih ramai tampil berinfak supaya lebih ramai keluarga dapat dibantu,” katanya.
Bank Islam 03072010137874 atas nama CM Asnaf Solution.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 153029329154 atau Bank Islam 03072010137874 atas nama CM Asnaf Solution. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kereta terbabas jatuh gaung 60 meter, dua warga emas terselamat
CAMERON HIGHLANDS – Dua individu berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sejauh kira-kira 60 meter berhampiran BOH Tea Centre, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.14 petang itu, sebuah kereta jenis Haval bernombor pendaftaran SB2188K dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh ke dalam gaung.
Penguasa Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Mohd Salahuddin Isa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.50 petang.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira 24 minit kemudian.
“Terdapat dua mangsa iaitu seorang lelaki berusia 73 tahun warga tempatan dan seorang wanita berusia 79 tahun warga Singapura. Kedua-duanya mengalami kecederaan, namun tidak tersepit,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba segera menjalankan operasi menyelamat dengan menggunakan pengusung untuk membawa mangsa naik ke kawasan selamat.
“Operasi berjaya dikawal pada jam 4.19 petang sebelum mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Seramai lapan anggota terlibat dalam operasi berkenaan dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) serta dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM).-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pimpinan Bersatu Lipis isytihar letak jawatan, hilang kepercayaan terhadap presiden
LIPIS – Jawatankuasa Bahagian dan cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Lipis mengisytiharkan pembubaran kepimpinan mereka berkuat kuasa serta-merta selepas sebulat suara memutuskan untuk meletak jawatan.
Keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas yang dihadiri ketua bahagian, timbalan, naib ketua bahagian serta barisan ahli jawatankuasa dan wakil cawangan.
Menurut Ketua Bahagian Bersatu Lipis, Nor Alias Ibrahim berkata, tindakan berkenaan dibuat susulan kekecewaan mendalam akar umbi terhadap kepimpinan Presiden parti, Muhyiddin Yassin.
“Mereka mendakwa kemelut dalaman parti yang berlarutan hampir setahun gagal ditangani dengan berkesan, sekali gus menjejaskan keyakinan kepimpinan di peringkat bahagian.
“Kami melihat presiden tidak berjaya mengawal krisis yang berlaku dan tiada langkah konkrit diambil untuk memulihkan keadaan,” katanya.
Katanya, selain itu, kepimpinan bahagian turut mempersoalkan peranan Setiausaha Agung, Azmin Ali dan Ketua Penerangan, Tun Faisal Ismail Aziz yang didakwa mengeluarkan kenyataan serta mengambil tindakan yang dianggap menjejaskan parti.
“Kami berpendapat tindakan kedua-dua pemimpin berkenaan dilihat seolah-olah mendapat restu presiden, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi.
“Beberapa tindakan pemecatan terhadap ketua bahagian, ahli parti dan wakil rakyat yang menyuarakan pandangan turut menambah ketegangan dalam parti. Malah, pemecatan Timbalan Presiden baru-baru ini disifatkan sebagai kemuncak kepada krisis dalaman yang berlaku,” katanya.
Katanya, sehubungan itu, kepimpinan Bersatu Lipis menyifatkan keputusan meletak jawatan sebagai langkah terakhir demi prinsip dan pendirian mereka, selain menegaskan tindakan tersebut dibuat secara kolektif serta tanpa paksaan mana-mana pihak.
“Perkembangan itu dijangka memberi kesan kepada struktur organisasi parti di peringkat bahagian dan cawangan di kawasan Lipis, “ katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Penunggang motosikal warga Indonesia maut dirempuh kereta di KM20 Jalan Jerantut–Padang Piol
JERANTUT – Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 20, Jalan Jerantut – Padang Piol , awal pagi tadi.
Motosikal yang ditunggang mangsa.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Erlangga, 53, yang bekerja di ladang dan tinggal di Taman Perdana, Jerantut, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Mohd Azahari Mukhtar dalam kenyataan memaklumkan, kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Demak Ego ZR berwarna hijau dengan sebuah kereta Toyota Yaris berwarna putih.
“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dalam perjalanan dari arah Masjid Padang Piol menuju ke rumahnya, manakala kereta dipandu seorang wanita berusia 22 tahun dari Felda Padang Piol menghala ke Bandar Jerantut.
“Apabila tiba di lokasi kejadian yang gelap pada waktu subuh, motosikal berkenaan dipercayai tidak mempunyai lampu, manakala kereta yang bergerak lurus dan searah telah melanggar bahagian belakang motosikal terbabit,” menurut kenyataan itu.
Katanya, akibat perlanggaran berkenaan, mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
“Pemandu kereta, seorang guru tadika, dilaporkan mengalami sakit pada bahagian dada dan perut.
“Keadaan permukaan jalan ketika kejadian adalah kering dan cuaca baik, namun pencahayaan di lokasi dilaporkan gelap,” katanya.
Motosikal mangsa dilaporkan tidak mempunyai cukai jalan dan mangsa juga tidak memiliki lesen memandu. Kereta terbabit pula mempunyai cukai jalan yang sah sehingga 24 Mac 2026.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tabung infak Surau Hayatul Islam dilancar sempena Ramadan 2026
SERI AMAN – Sempena kedatangan Ramadan 2026, Jawatankuasa Surau Hayatul Islam Kampung Hulu melancarkan Tabung Infak bagi menjayakan pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan sepanjang tahun ini.
Pengerusinya, Laupall Bujang berkata, pelancaran tabung berkenaan dibuat berikutan kedudukan kewangan surau yang kini berada pada tahap kritikal dan memerlukan sokongan orang ramai.
Menurutnya, dana yang dikumpulkan akan digunakan bagi menampung perbelanjaan penganjuran ceramah agama, kelas pengajian al-Quran, kelas fardu ain untuk kanak-kanak serta pengajian khas untuk golongan dewasa di kampung berkenaan.
“Besar harapan kami agar ada insan dan dermawan yang sudi menghulurkan sumbangan bagi memastikan segala perancangan aktiviti surau dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Segala sumbangan tuan-puan kami dahului dengan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih,” katanya ketika ditemui di sini.
Aktiviti Tadarus yang diadakan di surau tersebut.
Beliau berkata, pihak jawatankuasa komited untuk terus mengimarahkan surau sebagai pusat penyatuan masyarakat serta platform pembangunan rohani dan sahsiah kariah setempat.
Orang ramai yang berhasrat menyumbang boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Rakyat atas nama Jawatankuasa Pengurusan Surau Hayatul Islam Kampung Hulu, Sri Aman (No Akaun: 11 00 90 25 24).
Jawatankuasa surau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa menyokong usaha memakmurkan institusi surau demi kesejahteraan ummah.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Dari Bilik Darjah ke Podium Orkestra: Legasi Gemilang Mokhzani di RTM
Anak kampung yang membesar di celah kehijauan sawah padi di Kampung Alor Lanchang, Jejawi, Perlis itu tidak pernah menyangka takdir hidupnya akan membawanya berdiri megah di hadapan ratusan pemuzik profesional.
Dilahirkan pada 22 Februari 1962, Datuk Mokhzani Ismail memulakan perjalanan sebagai seorang guru sebelum namanya terpahat sebagai antara konduktor paling berpengaruh dalam sejarah Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Perjalanannya bermula apabila beliau melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Ilmu Khas, kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas di Cheras.
Selepas menabur bakti sebagai guru di kampung halaman, minat dan bakat mendalam terhadap muzik mendorongnya terbang ke Amerika Syarikat untuk memperkasa ilmu dalam bidang tersebut.
Buah tangan terakhir Mokhzani untuk siaran Hari Raya 2026 dengan memimpin 40 anggota pemuzik untuk konsert Siti Nurhaliza.
Tahun demi tahun berlalu, dan pada usia 36 tahun, Mokhzani dilantik sebagai Pengarah Muzik RTM -satu tanggungjawab besar yang meletakkan beliau sebaris dengan tokoh terdahulu seperti Alfonso Soliano dan Johari Salleh.
Pelantikan itu bukan sekadar pengiktirafan, tetapi amanah untuk memastikan Orkestra RTM terus unggul sebagai nadi muzik penyiaran negara.
Sepanjang 35 tahun bersama RTM, termasuk 25 tahun sebagai Pengarah Muzik, beliau mencorakkan pelbagai pembaharuan.
Di bawah kepimpinannya, program Bintang RTM menjadi medan melahirkan artis tersohor seperti Ernie Zakri, Misha Omar dan Alyah.
Beliau turut mengemudi konsert berprestij termasuk Konsert Simfoni Putrajaya pada 2006 yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai konsert simfoni terbesar secara langsung di negara ini. Sentuhan antarabangsa pula terserlah menerusi penyertaan RTM Big Band di Java Jazz Festival serta kolaborasi bersama stesen serantau.
Satu lagi detik bersejarah ialah apabila beliau diberi penghormatan menjadi konduktor kepada Malaysian Philharmonic Orchestra bagi konsert pemain trompet tersohor dunia, Chris Botti di Dewan Filharmonik Petronas pada 2011.
Dalam bidang lagu patriotik, Mokhzani memainkan peranan penting sebagai Pengerusi Jawatankuasa Lagu Tema Merdeka sejak 1998.
Antara karya besar beliau termasuk “Malaysia Prihatin” nyanyian Ernie Zakri dan “Menang Bersama” oleh Faizal Tahir. Terbaharu, beliau menerbitkan lagu tema ASEAN Summit “Our Land Our Home” nyanyian Aina Abdul serta “Madani Cinta Negara” oleh Stacy.
Pengiktirafan tertinggi diterimanya apabila dianugerahkan Anugerah Seni Negara kategori Seni Muzik pada 2024, selain menerima darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk.
Menariknya, walaupun bersara secara rasmi, serentak dengan peletakan jawatan Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Suhaimi Sulaiman, Mokhzani tidak memilih untuk berehat sepenuhnya. Beliau kini aktif sebagai pemain piano jazz dan dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti Malaya.
Daripada seorang guru di desa ke podium konduktor bertaraf antarabangsa, perjalanan Datuk Mokhzani Ismail membuktikan bahawa bakat, disiplin dan kesungguhan mampu mengangkat anak kampung menjadi arkitek legasi muzik negara.
Namanya akan terus dikenang sebagai simbol dedikasi dan kecintaan terhadap seni yang tidak pernah padam. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!