ANGKASA, KOTEJA berganding jayakan Jualan Rahmah
ANGKASA, KOTEJA berganding jayakan Jualan Rahmah
TEMERLOH: Program Jualan Rahmah Madani anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bersama Koperasi Teguh Jaya Temerloh Berhad (KOTEJA) di Dewan Terbuka Taman Sri Kemuning.
Program berlangsung Sabtu dan Ahad ini dengan menawarkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga lebih rendah.
Program itu menawarkan pelbagai barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, ayam segar, telur, susu, mi segera dan barangan rumah dengan potongan sehingga 30 peratus berbanding harga pasaran semasa.

Kemuncak Majlis perasmian pada Ahad nanti akan disempurnakan Bendahari JKAN Pahang Tengah, Datuk Abdul Rahman Daud yang mewakili Pengerusi ANGKASA Negeri Pahang Tengah, Datuk Mohamad Hanifah BK Koya Moideen Kutty.
Turut hadir, Pengurus ANGKASA Negeri Pahang Tengah, Nurashikin Sulaiman; Pengerusi KOTEJA, Jamil Yaakob serta wakil koperasi dan komuniti setempat.
Jamil berkata, program itu bukan sahaja membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, malah membuka peluang kepada koperasi memasarkan produk dan memperkukuhkan ekonomi komuniti setempat.
Katanya, sambutan diterima amat menggalakkan apabila orang ramai hadir seawal pagi bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah berbanding pasaran semasa.
“Program seperti ini memberi manfaat besar kepada masyarakat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
“Kami berharap lebih banyak koperasi baharu menyertai Program Jualan Rahmah Madani selepas ini bagi memperluaskan manfaat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui pada program itu.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, beliau turut menyampaikan pesanan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah supaya gerakan koperasi terus diperkasakan menerusi program berimpak tinggi yang dekat dengan rakyat.

Beliau berkata, Presiden ANGKASA mahu lebih banyak koperasi termasuk koperasi baharu tampil aktif menyertai program jualan seumpama itu kerana ia bukan sahaja membantu masyarakat mendapatkan barangan murah, malah membuka peluang menjana pendapatan dan mengembangkan perniagaan koperasi.
Katanya, kerjasama erat antara koperasi dan agensi kerajaan mampu memperkukuhkan jaringan ekonomi rakyat secara lebih menyeluruh.-SAHIH
