PENTARAMA semarak patriotisme lebih 165,000 warga sekolah
PENTARAMA semarak patriotisme lebih 165,000 warga sekolah
SUBANG JAYA: Pendekatan santai menerusi elemen hiburan dan pendidikan menjadi antara tarikan utama Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku yang berjaya mendekatkan murid dengan mesej kenegaraan serta menyemarakkan semangat patriotisme.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Erwin Khairul Ahmad berkata, program yang diperkenalkan sejak 2024 itu terus menerima maklum balas positif daripada guru dan murid.
Menurutnya, pendekatan didik dan hibur atau ‘edutainment’ yang diterapkan melengkapkan pembelajaran kurikulum di sekolah selain menjadikan penyampaian maklumat berkaitan kerajaan dan kenegaraan lebih mudah diterima golongan muda.
“Kita mendapat maklum balas positif daripada guru dan pelajar. Apabila berada di sekolah, pendidikan asasnya bersifat kurikulum dan kita menambah kepada kurikulum sedia ada dengan memasukkan elemen ‘infotainment’ dan ‘edutainment’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku Edisi Khas sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Jaya SS14, di sini, Rabu.
Program kerjasama strategik antara JAPEN dan Kementerian Pendidikan itu membabitkan 1,051 warga sekolah terdiri daripada 975 murid serta 76 guru dan kakitangan.
Sejak diperkenalkan dua tahun lalu, PENTARAMA X Kelab Malaysiaku sudah dilaksanakan di 223 sekolah menengah di seluruh negara dengan penyertaan melebihi 165,000 murid dan guru sehingga Ogos ini.
Bagi tahun ini, sebanyak 87 sekolah sudah menyertai program berkenaan dengan JAPEN menyasarkan penyertaan keseluruhan 105 sekolah.
Antara pengisian program ialah persembahan lagu patriotik, Sembang Santai HKHM yang menyentuh Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang dan Kempen Internet Selamat, kuiz interaktif serta permainan teka silang kata kenegaraan.
Turut diadakan peragaan busana pelbagai kaum selain edaran Jalur Gemilang kepada peserta.
#kw: JAPEN, PENTARAMA, Kelab Malaysiaku, Erwin Khairul Ahmad, Hari Kebangsaan, Hari Malaysia, patriotisme, SMK Subang Jaya SS14, Jalur Gemilang, pelajar
