RM9 bilion tangani sekolah daif, 367 projek diluluskan
RM9 bilion tangani sekolah daif, 367 projek diluluskan
BIDOR: Usaha menangani isu sekolah daif terus dipergiat apabila kerajaan meluluskan 367 projek pembangunan semula bangunan sekolah membabitkan peruntukan RM9 bilion di seluruh negara bagi tempoh 2023 hingga 2026.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, peruntukan besar itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk mempercepatkan pembangunan semula bangunan sekolah daif demi memastikan keselamatan dan keselesaan murid.
Menurutnya, sebanyak 86 projek bernilai lebih RM1.71 bilion diluluskan pada 2023, diikuti 78 projek membabitkan kira-kira RM1.83 bilion pada 2024.
Katanya, pada 2025 pula, sebanyak 124 projek bernilai RM4.1 bilion diluluskan, manakala 79 projek dengan peruntukan melebihi RM1.38 bilion mendapat kelulusan tahun ini.
“Kesemua ini adalah satu manifestasi Kerajaan Madani untuk memastikan apabila kita berdepan isu sekolah daif, kita menurunkan peruntukan yang lebih dan meluluskan lebih banyak projek.
“Ia bagi memastikan kita dapat mempercepatkan proses pembangunan semula bangunan-bangunan daif yang terbabit di sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Bangunan Gantian Sekolah Daif Kementerian Pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Coldstream, di sini.
Wong berkata, jumlah kelulusan sepanjang tempoh empat tahun itu adalah yang terbesar pernah dilaksanakan bagi menangani isu sekolah daif secara berperingkat.
Menurutnya, tempoh penyiapan setiap projek bergantung kepada skop, spesifikasi dan lokasi, namun secara umumnya mengambil masa kira-kira dua tahun selepas kelulusan serta pelantikan kontraktor dibuat.
Sementara itu, bangunan gantian SJKC Coldstream bernilai RM2.9 juta siap sepenuhnya pada 6 Ogos lalu selepas kerja pembinaan bermula pada Mei 2024.
Kemudahan baharu itu merangkumi empat bilik darjah, dua tandas dan sebuah dewan terbuka selain dilengkapi 120 set kerusi dan meja serta Smart TV.
Kemudahan itu membolehkan murid menikmati persekitaran pembelajaran lebih kondusif, selain bilik khas yang sebelum ini dijadikan kelas sementara dapat dikembalikan kepada fungsi asal.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: sekolah daif, Wong Kah Woh, Kementerian Pendidikan, RM9 bilion, SJKC Coldstream, Bidor, bangunan gantian, Kerajaan Madani, pendidikan, sekolah
