Pendakwah selebriti berdepan 51 pertuduhan babit lebih RM15 juta
Pendakwah selebriti berdepan 51 pertuduhan babit lebih RM15 juta
SEREMBAN: Seorang pendakwah selebriti berdepan keseluruhan 51 pertuduhan membabitkan pecah amanah dana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pengubahan wang haram bernilai lebih RM15 juta di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Abdullah Abdol Razak yang juga Pengerusi Pertubuhan Rezeki Infaq Malaysia (PRIM) bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.
Bagi 34 pertuduhan pecah amanah, Abdullah didakwa sebagai pengerusi yang diamanahkan menguasai dana PRIM melakukan pecah amanah jenayah dengan meluluskan pembayaran wang secara tidak jujur tanpa melalui prosedur ditetapkan membabitkan keseluruhan RM13.85 juta.
Perbuatan itu didakwa melanggar Fasal 10 Perlembagaan PRIM yang mensyaratkan pengeluaran atau pembayaran dana perlu mendapat kebenaran Mesyuarat Agung dan kelulusan Jawatankuasa pertubuhan.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Biz Avenue, Seremban 2 antara 28 Februari 2023 hingga 31 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Bagi 17 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Abdullah didakwa memindahkan RM1.56 juta yang disyaki hasil aktiviti haram daripada akaun bank miliknya dan akaun syarikat ke beberapa akaun syarikat lain serta individu bagi pembayaran pembelian emas.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 18 Mei 2024 hingga 24 Februari lalu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib mencadangkan jaminan RM1 juta dengan dua penjamin tempatan selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM700,000 dengan alasan anak guamnya berpendapatan tidak menentu serta menanggung 11 anak dan seorang ibu.
Mahkamah kemudian membenarkan Abdullah diikat jamin RM700,000 dengan dua penjamin tempatan berusia 21 tahun ke atas, membabitkan RM400,000 jaminan bercagar dan RM300,000 tidak bercagar.
Mahkamah turut membenarkan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw: Abdullah Abdol Razak, pendakwah selebriti, PRIM, pecah amanah, pengubahan wang haram, AMLA, Mahkamah Sesyen Seremban, RM13.85 juta, RM1.56 juta, Ahmad Akram Gharib
