MyBHA Pahang gesa pembangunan pelancongan lebih mampan
MyBHA Pahang gesa pembangunan pelancongan lebih mampan
TEMERLOH: Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Pahang menggesa pembangunan pelancongan negeri diperkukuh menerusi pengurusan destinasi lebih sistematik, adil dan mampan bagi memastikan industri hospitaliti terus berdaya saing.
Gesaan itu disuarakan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2026 persatuan berkenaan yang berlangsung di Hotel Apsara Temerloh, di sini, semalam.
Pengerusi MyBHA Pahang, Datuk Seri K. Vijayendren berkata, pembangunan pelancongan perlu dilaksanakan secara lebih menyeluruh dengan memberi penekanan bukan sahaja kepada promosi dan infrastruktur, tetapi juga kepada kualiti pengalaman pelawat serta kelestarian destinasi.
Menurutnya, pandangan pelancong perlu diberi perhatian kerana mereka adalah pengguna sebenar sesuatu destinasi dan mampu membantu mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Kadangkala penduduk tempatan sudah biasa dengan keadaan sekeliling, namun pelawat luar dapat melihat aspek yang perlu ditambah baik bagi meningkatkan pengalaman pelancongan,” katanya.
Beliau berkata, isu membabitkan Cherating dan Pulau Tioman juga perlu diberi perhatian serius susulan kedua-dua destinasi itu mempunyai potensi besar sebagai tarikan pelancongan bertaraf antarabangsa.
Katanya, Cherating memerlukan suntikan baharu dari segi promosi, penjenamaan dan pembangunan produk pelancongan, manakala Pulau Tioman masih berdepan beberapa cabaran termasuk pengangkutan feri, kos perjalanan, kebersihan dan penyelenggaraan.
Selain itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap pertambahan pengusaha penginapan haram termasuk pengendali Penginapan Jangka Masa Pendek (STRA) yang tidak dikawal selia.
Menurutnya, kewujudan penginapan tidak berdaftar boleh memberi kesan kepada keyakinan pelancong, reputasi destinasi serta industri hotel secara keseluruhan.
“Apabila sesuatu acara dibatalkan pada saat akhir, ia bukan sahaja memberi kesan kepada penganjur tetapi turut menjejaskan tempahan hotel, perniagaan tempatan dan pengusaha pengangkutan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap kerajaan Pahang terus menggalakkan pelaburan, memperkukuh ekosistem pelancongan mesra industri serta memberi perhatian terhadap aspek ESG, kebersihan, keselamatan dan pelancongan mampan demi memastikan sektor hospitaliti negeri terus berkembang.-SAHIH
