Abdul Fattah terus diberi mandat terajui ACO
Abdul Fattah terus diberi mandat terajui ACO
SELANGOR : Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dipilih semula secara sebulat suara sebagai Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) bagi penggal 2026 hingga 2030.
Pemilihan itu dibuat pada Mesyuarat Agung ACO yang berlangsung di Ixora Hotel, Pulau Pinang.
Pelantikan semula itu sekali gus meneruskan kepimpinan Malaysia dalam organisasi koperasi serantau berkenaan selepas beliau memegang jawatan sama sejak 2014.
Abdul Fattah berkata, pemilihan semula itu mencerminkan keyakinan negara anggota ASEAN terhadap kepimpinan Malaysia dalam memperkukuh gerakan koperasi serantau serta memperluaskan kerjasama ekonomi rakyat di peringkat antarabangsa.
Katanya, mandat baharu itu akan dimanfaatkan bagi memperkukuh jaringan perdagangan Cooperative-to-Cooperative (C2C) di ASEAN selain membuka lebih banyak peluang pasaran kepada produk dan perkhidmatan koperasi Malaysia di peringkat global.

“ACO perlu menjadi platform utama dalam memperkukuh ekonomi rakyat ASEAN melalui kerjasama strategik antara koperasi terutama dalam sektor keterjaminan makanan, halal, pelancongan komuniti, pendigitalan dan tenaga hijau.
“Kita mahu koperasi ASEAN menjadi kuasa ekonomi rakyat yang lebih berdaya tahan, inklusif dan kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ACO juga komited memperkasakan koperasi belia, koperasi wanita, koperasi sekolah dan koperasi komuniti sebagai pemacu pembangunan mampan ASEAN pada masa depan.
ACO ditubuhkan pada 6 Disember 1977 menerusi deklarasi bersama badan koperasi induk Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura bagi memperkukuh kerjasama ekonomi serta pembangunan gerakan koperasi di rantau ASEAN.
Kini, ACO dianggotai 10 negara ASEAN dengan kekuatan 347,599 koperasi dan lebih 66.6 juta anggota di seluruh rantau ini.
Gerakan koperasi ASEAN turut menyumbang kira-kira lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN bersamaan AS$195 bilion selain menjana lebih 11 juta peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor ekonomi.-SAHIH
