Jojo’ peninju Muay Thai negara berusia 16 tahun tumbangkan lawan hanya 16 saat
BANGKOK – Peserta remaja Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, melakarkan penampilan sulung yang menakjubkan dalam siri ONE Championship apabila menumbangkan lawan dengan pukulan ‘knockout’ (KO) di Stadium Tinju Lumpinee, di sini, pada Jumaat.
Peserta Sarawak berusia 16 tahun itu hanya mengambil masa 16 saat dalam pertarungan ‘Flyweight Muay Thai’ untuk keputusan KO terhadap peserta tuan rumah, Padetsuk Fairtex, dalam pusingan pertama.
Beliau memerangkap lawan dengan aksi kombinasi pukulan bertubi-tubi yang disasarkan tepat sehingga lawannya tidak mampu meneruskan saingan.
Johan, yang lebih dikenali sebagai ‘Jojo’, turut menerima bonus prestasi berjumlah Baht 350,000 (RM44,000).
Johan, yang mewakili Kelab Muay Thai Rentap, berkata beliau menjalani tempoh latihan intensif selama sebulan setengah bagi persediaan menghadapi pertarungan ONE Championship.
“Saya sentiasa mahu bertarung dalam kejohanan ini…maka berlatih dengan gigih untuk mencapai hasrat ini. Saya berlatih kira-kira lapan jam sehari iaitu empat jam mulai jam 6 pagi dan empat jam pada sebelah petang mulai 4 petang.
“Usaha keras selama ini berbaloi. Saya amat berterima kasih kepada jurulatih, Addy Singpayak, yang menjaga saya, beliau adalah jurulatih yang sangat berdedikasi dan memastikan saya berlatih secara konsisten,” katanya.
Tahun lalu, Johan muncul juara Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA 2022 selepas menumbangkan peserta Rusia, Rustam Yunusob, bagi kategori 14 hingga 15 tahun (bawah 60 kilogram) dengan kiraan mata 20-18, di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya.- Sarang Burung.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Sukan PESAYA Sarawak – Yayasan Pahang sasar tiga tempat terata
KUANTAN: Seramai 164 atlet kontinjen Yayasan Pahang berentap bagi mencapai sasaran tiga tempat terbaik pada temasya Pesta Sukan Antara Yayasan Negeri Se-Malaysia (PESAYA) Ke-14, Sarawak 2022 yang diadakan di Kuching bermula 10 hingga 19 Februari ini.
Ketua Kontinjen Datuk Muhamad Firus Kamal Mohd Noh berkata, skuad Yayasan Pahang menyertai 14 acara yang dipertandingkan iaitu bola sepak, futsal,takraw badminton, boling, petanque.bola baling, bola jaring, bola tampar, dart,carom,e-sport, golf dan pingpong.
Menurutnya, kontinjen Yayasan Pahang meletakkan sasaran tiga tempat terbaik berikutan persediaan dan latihan sejak setahun lepas.
” Yayasan Sarawak menjadi tuan rumah pesta sukan tahun ini yang dianjurkan secara dwitahunan.
” Setiap atlet telah ditekankan semangat berpasukan supaya sasaran tempat ketiga teratas menjadi kenyataan.
“Kita perlu memupuk semangat berpasukan semua yang terlibat lebih fokus terhadap pertandingan yang disertai,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Tegas beliau, objektif Yayasan Pahang bukan sahaja menonjolkan kehebatan dalam bidang sukan dan permainan tetapi juga dalam sektor korporat.
Beliau mengingatkan atlet yang terlibat dalam pertandingan dapat menjaga imej negeri dan bertanding sebagai satu pasukan dan semangat kesukanan.
“Oleh itu, kita yakin adanya semangat kesukanan yang tinggi mampu membawa nama Pahang dengan baik,” ujarnya.
Untuk rekod, PESAYA merupakan pertandingan sukan dwitahunan antara semua yayasan-yayasan negeri dalam Malaysia yang telah diwujudkan sejak tahun 1991.
Temasya kali ini menyaksikan sebanyak 13 buah kontinjen negeri akan mengambil bahagian dalam 15 jenis sukan yang dipertandingkan.
Antara negeri-negeri yang mengambil bahagian dalam kejohanan ialah Johor, Kedah, kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Sabah, Selangor, Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Sarawak sebagai tuan rumah.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BEBERAPA perlawanan Liga Super musim depan akan berlangsung pada waktu petang, persis seperti suasana Liga Perdana Inggeris.
PETALING JAYA: Peminat bola sepak tempatan bakal merasai suasana ala Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila saingan Liga Malaysia (Liga M) 2023 akan berlangsung di sebelah petang, antara pembaharuan yang diperkenalkan musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, perubahan itu dibuat bagi menyemarakkan lagi suasana Liga M.
Ia juga dilihat sebagai pendekatan berbeza dan mampu membawa pengalaman baharu buat penyokong yang sebelum ini kerap melihat perlawanan EPL secara langsung di kaca televisyen pada waktu petang yang cukup meriah.
“Langkah MFL memperkenalkan waktu sepak mula baharu iaitu lebih awal pada sebelah petang adalah untuk menyuntik suasana dan pengalaman baharu buat penyokong.
“Bagaimanapun, waktu sepak mula perlawanan juga tertakluk kepada penyiar rasmi dan MFL,” katanya ketika mengumumkan jadual Liga M di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di sini, semalam.
Empat pilihan waktu disusun MFL menyaksikan sepak mula pukulan 5.15 atau 5.30 petang yang digunapakai di Semenanjung, manakala di Sabah dan Sarawak 4.30 atau 4.45 petang.
Tiga lagi waktu perlawanan di Semenanjung adalah pada 8.15 malam; 9 malam dan 10 malam (di bulan Ramadhan).
Sementara di Borneo akan berlangsung pada 7.30 malam; 8.15 malam dan 9.15 malam (bulan Ramadhan).
Musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) beraksi di sebelah petang dalam saingan Liga Juara-Juara Asia di Stadium Sultan Ibrahim dan ia menyaksikan sambutan positif penyokong tempatan.
Sementara itu, Liga M musim ini juga bakal menyaksikan perebutan enam trofi dengan dua kejuaraan baharu diperkenalkan Piala Cabaran MFL dan Piala MFL (Liga Simpanan B-23).
Menurut Stuart, selain dua saingan itu, empat kejohanan iaitu Piala Sultan Ahmad Shah (Sumbangsih), Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia kekal menjadi rebutan buat 14 pasukan elit dalam Liga M musim ini.
Aksi pembuka tirai merebut Piala Sultan Ahmad Shah antara JDT (juara Liga Super musim lalu) dan Terengganu FC (naib juara Liga Super musim lalu) akan dilangsungkan pada 24 Februari ini di Stadium Sultan Ibrahim.
Sumber : Utusan Malaysia
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize berada di tengah-tengah himpunan pelajar SMK Permas Jaya 2, Pasir Gudang, Johor yang menyambut kedatangan beliau ke sekolah itu selepas dinobatkan Olahragawan Kebangsaan Sukma 2022.
Olahragawan Sukan Sukma 2022 balik SMK Permas Jaya 2
PASIR GUDANG – Olahragawan Kebangsaan Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize turut berkongsi kejayaan dengan menyuntik semangat kesukanan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permas Jaya 2 (SMKPJ2), Pasir Gudang, Johor dalam Majlis Wawancara Tokoh Sukan, baru-baru ini.
Fakhrullah yang berasal dari Kampung Bakar Batu, Johor dinobatkan untuk merangkul anugerah itu selepas berjaya meraih sembilan emas dalam acara individu dan berkumpulan sukan kanu.
Muhammad Fakhrullah bersama sebahagian guru SMK Permas Jaya 2 yang banyak memberi semangat dan berbangga di atas kejayaan beliau.
Beliau merupakan bekas pelajar SMK Permas Jaya 2 yang mula aktif dalam sukan berkenaan selepas menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Atlet kanu yang berusia 21 tahun itu yang mewakili Johor Darul Takzim itu turut mencipta sejarah apabila berjaya mencatat dua rekod baharu kebangsaan.
Pingat emas yang diraihnya menerusi acara K2 500m (rekod kebangsaan), K2 1,000m (rekod kebangsaan), K1 200m, K2 200m, TBR 1,000m, TBR 500m, TBR 500 campuran, TBR 200m dan TBR 200m campuran.
Katanya, dia tidak menjangkakan mampu memenangi sembilan acara yang disertai dan meraih sembilan pingat emas yang melayakkan dirinya mendapat bonus apabila disytiharkan sebagai Olahragawan Kebangsaan Sukma.
“Ketika berjaya mendapat emas ketujuh, wartawan media ada memaklumkan kepada saya bahawa kemungkinan akan dinobatkan Olahragawan Sukma, tapi saya menggangap perkara ini sebagai satu bonus supaya tidak terlalu tertekan untuk memberi tumpuan kepada acara seterusnya.
“Apabila nama disebut untuk naik ke atas pentas, saya tidak menjangkakan akan menerima trofi daripada seorang pelumba basikal trek professional Malaysia, Datuk Azizulhasni Awang, kerana ketika itu di belakang tabir hanya kelihatan Datuk Nicol David dan Datuk Lee Chong Wei, pada masa sama saya berasakan aura ‘champion’ ketika bersama Datuk Azizulhasni,” katanya.
Roszaidi Ramlee berswafoto bersama Muhammad Fakhrullah.
Dia bermula berjinak dengan sukan itu ketika berusia 15 tahun selepas selesai menduduki PT3 dan seorang rakan mengajak dia untuk bersama-sama berlatih kanu.
“Pada ketika itu, saya berminat sukan bola sepak, bagaimanapun semuanya berubah apabila rakannya itu tidak dapat meneruskan perjuangan dalam sukan kanu kerana beberapa masalah serta kesan kemalangan menimpanya.
“Oleh itu, saya bersama rakan lain mengambil keputusan untuk teruskan tekun berlatih sehingga mampu menjadi wakil SMK Permas Jaya 2 dalam pertandingan yang diadakan di samping fokus kepada semi pro dan profesional ketika berusia 16 tahun sudah menyertai Sukan Peringkat Negeri Johor serta berjaya menang emas pertama,” katanya.
Tambahnya, tanpa disedari dia hampir lapan tahun menjadi atlet kanu dan sudah lima tahun sebagai atlet semi pro yang menfokus pada ketika itu ke arah sprint.
Seawal usia 18 tahun dia sudah mewakili negara dalam pertandingan Asia Tenggara di Thailand serta berjaya mendapat pingat emas sulung iaitu dua emas dan sembilan gangsa.
Katanya, dia mendapat peluang untuk menjalani latihan di luar negara iaitu pada tahun 2021 di dua negara, Portugal dan Monteno Ovenho selama dua minggu dan turut menyertai pertandingan semi final pada Kejohanan Dunia Junior kedua di Hungary bersama-sama 13 atlet bertaraf dunia manakala program latihan sangat berlainan di Malaysia.
“Sokongan dan dorongan khusus daripada ibu bapanya serta ahli keluarga, jurulatih dan individu di sekeliling banyak menyuntik semangat untuk saya melakukan sesuatu itu dengan bersungguh-sungguh termasuklah Majlis Sukan Negeri Johor menyarankan untuk menjadi atlet semi pro.
“Sukma ini merupakan permulaan dan tapak untuk diserapkan dalam kumpulan kebangsaan seterusnya mewakili negara dalam kejohanan besar dan berprestij yang akan menguji serta membuka cabaran lebih besar dan hebat.
Katanya, dia hadir ke SMK Permas Jaya 2 ini dan kebetulan hasrat itu tercapai dengan diiringin kejayaan besar sebagai atlet kanu untuk dikongsikan bersama-sama guru, warga sekolah dan rakan pelajar kerana turut penyuntik semangat untuk memburu kecemerlangan.
Sementara itu, seorang guru sekolah berkenaan, Roszaidi Ramlee menyifatkan kehadiran Fakhrullah selepas merangkul anugerah olahragawan berkenaan amat bermakna kepada SMK Permas Jaya 2 kerana menyuntik motivasi kepada pelajar untuk turut berjaya dalam sukan seperti beliau.
“Belajar bersungguh-sungguh bagi menjadi pelajar cemerlang dan menjadi kebanggaan ibu bapa serta guru bukanlah penghalang turut berjaya dalam bidang sukan asalkan bijak membahagikan masa untuk belajar serta mengulang kaji pelajaran,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SERAMAI 127 penyokong pasukan bola sepak maut selepas perlawanan ‘derbi’ Jawa Timur antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan di Malang, Jawa Timur, Indonesia, malam tadi.
Turut terkorban dua anggota Polis Republik Indonesia (Polri), kata Kepala Kepolisian Negara Republik Indonesia Daerah (Kapolda) Jawa Timur, Irjen Pol Nico Afinta dipetik dari Kompas.com.
“Ada 34 maut di stadium manakala yang lainnya meninggal dunia di rumah sakit.
“Sekitar 180 lagi penonton dan penyokong sedang dirawat di beberapa rumah sakit sekitar Jawa Timur,” katanya.
Difahamkan, rusuhan itu membabitkan penyokong kedua pasukan selepas perlawanan berakhir.
Punca kecederaan dikatakan akibat tindakan Polri melepaskan tembakan gas pemedih mata bagi menyuraikan rusuhan itu.
Kebanyakan mangsa dipercayai maut akibat sesak nafas dan dipijak oleh perusuh ketika pihak Polri cuba mengawal keadaan kecoh di dalam stadium terbabit.
Berdasarkan laporan kronologi kejadian, sebahagian besar penyokong mula menceroboh padang selepas pasukan Arema tewas 2-3 ditangan musuh tradisi mereka, Persebaya dalam perlawanan itu.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bukit Panau ditakluk 50 pendaki sempena Hari Kebangsaan ke-65
JERANTUT – Seramai lima puluh peserta berjaya mendaki Bukit Panau Kampung Bahru dekat sini sempena sambutan Hari kebangsaan ke-65, hari ini.
Pelepasan pendakian dimulakan oleh Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris, pagi ini.
Penyelaras program, Sabri Abdullah berkata, selain peserta tempatan terdapat peserta dari Temerloh, Jengka dan Kuala Lumpur.
Katanya, pendakian itu dilepaskan oleh Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris yang hadir di tempat permulaan.
“Pendakian dimulakan pada 7.00 pagi dan semua peserta selamat turun pada jam 9.30 pagi,” katanya
Seorang peserta wanita, Nurul Anis Ariani Rakhid (25) berkata, penyertaan pendakian itu selain beriadah ia turut sebagai menikmati kedamaian dan mengenali alam flora fauna di sekitar Bukit Panau.
“Seronok dengan kedamaian dan dapat melihat tumbuhan di sekitar dan diharap kawasan bukit itu setinggi 396 meter dari paras laut dipelihara dan dipulihara,” katanya.-SAHIH.
Peserta melaungkan merdeka di puncak Bukit Panau
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TANGKAK – Sekolah Kebangsaan Bukit Rahmat (SKBR), Tangkak, menjadi perintis dan pemangkin dalam program pembangunan sukan ‘floorball’ (bola lantai) di Parlimen Pagoh dan di daerah Tangkak khasnya.
Guru Besar SKBR, Sulaiman Wagiman, berkata bagi mencapaikan hasrat sebagai perintis ‘floorball’ sekolah itu telah menubuhkan pasukan sukan berkenaan yang dan dirasmikan oleh Presiden Persatuan Floorball Johor, Junaidi Mazhar, baru-baru ini.
Ahli pasukan ‘The FloBuRST’ SK Bukit Rahmat, Tangkak, Johor bergambar bersama-sama guru dan jurulatih yang banyak memberi bimbingan, baru-baru ini.
Katanya, ‘Floorball’ yang bermula di Sweden pada 1970 merupakan alternatif kepada sukan hoki yang dimainkan di lapangan luar rumah dan sejak itu menyaksikan pertumbuhan tiada tandingan di Scandinavia serta selebihnya di Eropah.
“Tanpa pengalaman yang cukup pasukan floorball lelaki dan perempuan bawah 12 tahun sekolah ini mewakili daerah Tangkak dalam Kejohanan Floorball Sekolah Negeri Johor pada dua tahun lalu di Stadium Tertutup Kluang, Johor.
“Bermula dari situ, SKBR tidak pandang ke belakang lagi sebaliknya terus maju ke hadapan untuk membentuk serta melahirkan pasukan yang kuat di samping pemain berkaliber dalam sukan floorball di daerah Tangkak,” katanya.
Kata Sulaiman, selaras program pembangunan sukan itu, SKBR akan menjadikan pasukan The FloBuRST lebih cemerlang pada masa depan dengan membina prasarana yang lengkap supaya pasukan floorball dapat bermain di gelanggang yang selesa mengikut standard ukuran yang sebenar.
Ahli pasukan ‘The FloBuRST’ memberi tumpuan kepada tunjuk ajar jurulatih dalam latihan yang diadakan.
“Di samping itu SKBR akan berusaha untuk menyediakan kelengkapan peralatan yang canggih dan bermutu kepada setiap pemain supaya mampu bersaing dalam apa jua kejohanan sama ada pada peringkat daerah dan negeri amnya.
“Beberapa guru yang terbabit secara langsung dalam program pembangunan sukan ini, SKBR berkeyakinan usaha berkenaan akan membuahkan hasil yang membanggakan pada masa depan,” katanya.
Sulaiman berkata, yang terkini penganjuran Klinik Floorball Daerah Tangkak 2022 pada 7 Ogos 2022 lalu oleh Sektor Pembangunan Bakat Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak berjaya diadakan dengan mendapat kerjasama Majlis Sukan Negeri Johor dan Persatuan Floorball Negeri Johor.
Klinik itu turut disertai SK Bukit Rahmat, SK Sagil Kampung, SK Durian Chondong, SK Seri Jaya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sagil, SMK Tengku Temenggung Ahmad dan SM Sains Muar.
“Objektif penganjuran klinik itu adalah bagi mengembangkan bakat dan potensi murid dalam bidang sukan menerusi sukan floorball dan memberi pendedahan kepada lebih ramai guru serta murid dari sekolah lain di daerah Tangkak dalam sukan berkenaan.
“Klinik itu juga diharapkan mampu melahirkan pemain yang berkualiti, bertanggungjawab, berdisiplin, bersemangat tinggi dan berdaya saing ke arah mewujudkan satu pasukan ‘floorball’ yang mantap dan cekap,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
IPD Lipis anjur aktiviti berkayak semarakkan semangat hari kebangsaan ke-65
JERANTUT – Seramai 97 orang peserta berkayak berjaya menamatkan kayuhan bermula dari Padang Tengku ke jeti Tanjong Lipis sejauh 15 kilometer yang membabitkan penyertaan penjawat awam dan pihak berkuasa beruniform daerah Lipis, pada Sabtu.
Peserta berkayak itu termasuk Bomba dan Penyelamat Lipis, Hospital Lipis, Jabatan Perpaduan dan Intergrasi Nasional, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kuala Lipis, Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Kampung serta beberapa agensi lain yang dianjurkan oleh Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lipis.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor (3 dari kiri) dan Pengarah Hospital Lipis, Idiliya Ishahar (2 dari kanan) selepas program berkayak, pada Sabtu.
Ketua Polis Lipis yang juga ketua ekspedisi, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, program ini merupakan kerjasama membabitkan agensi di daerah ini untuk memupuk silaturahim antara Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini dengan semua penjawat awam menerusi aktiviti berkayak sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Ketua Polis Lipis yang juga ketua ekspedisi, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, program ini merupakan kerjasama membabitkan agensi di daerah ini untuk memupuk silaturahim antara IPD di sini dengan semua penjawat awam menerusi aktiviti berkayak sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
“Sambutan dilaksanakan beberapa cara , tetapi IPD memilih untuk berkayak yang mengambil masa kira-kira 3 jam untuk sampai ke penamat di Tanjung Lipis, dekat sini sebagai menguji kecekalan dan ketahanan mental dan fizikal.
“Selain itu, meningkatkan semangat patriotisme serta memupuk semangat kekeluargaan antara penjawat awam di sini berasaskan tema sambutan tahun ini ‘Keluarga Malaysia: Teguh Bersama’,” katanya.
Katanya, kira-kira 50 buah kayak mengharungi sepanjang Sungai Jelai turut mengibar bendera Jalur Gemilang untukmeningkatkan kesedaran kepada masyarakat setempat tentang nilai kecintaan terhadap negara yang sudah 65 tahun bebas daripada penjajahan.
Sementara itu, Pengarah Hospital Lipis, Idiliya Ishahar berkata, penganjuran berkayak oleh IPD Lipis selari dengan usaha kerajaan menggalakkan rakyat hidup sihat antara tunjang kekuatan kepada produktiviti sektor pekerjaan dan kesejahteraan keluarga.
Katanya, aktiviti berkayak wajar diteruskan pada masa akan datang menerusi kegiatan hujung minggu, sebelah petang dan cuti hari kelepasan bagi tujuan menyihatkan tubuh badan.
Penguasa Bomba Shahrul Nizam Nasir yang turut serta aktiviti itu, berkata, Ekspedisi Kayak Merdeka 2022 merupakan latihan tambahan bagi seramai enam orang anggota dari Balai Bomba Kuala Lipis khususnya persediaan tugasan menyelamat dan mencari ketika berlaku kejadian kemalangan di air.
“Lebih penting penyertaan program ini untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bersama PDRM dan kaki tangan kerajaan di daerah ini serta memupuk nilai kekeluargaan dan kerjasama selari dengan tema sambutan kemerdekaan tahun ini,” katanya.
AZLI Mohd Noor (barisan depan, berdiri 5 dari kanan) bersama peserta berkayak Sungai Jelai daripada pelbagai agensi kerajaan sempena Program Ekspedisi Kayak Merdeka 2022 anjuran Polis di Raja Malaysia (PDRM) ketika tiba di lokasi penamat di jeti Tanjong Lipis, Lipis hari ini.
AZLI Mohd Noor (barisan depan, berdiri tengah) bersama peserta berkayak Sungai Jelai daripada pelbagai agensi kerajaan sempena Program Ekspedisi Kayak Merdeka 2022 anjuran Polis di Raja Malaysia (PDRM) ketika tiba di lokasi penamat di jeti Tanjong Lipis, Lipis hari ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Piala AFC: KL City cipta sejarah mara ke final Zon ASEAN
KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur (KL) City FC melakar sejarah tersendiri apabila mara ke perlawanan akhir Zon ASEAN saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas mengatasi wakil Vietnam Viettel FC 6-5 dalam penentuan sepakan penalti di Ho Chi Minh City, malam tadi.
Pada pertembungan separuh akhir di Stadium Thong Nhat itu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selepas masa tambahan sekali gus pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti yang menyaksikan penjaga gol KL City FC Muhammad Azri Abdul Ghani muncul wira pasukan.
Muhammad Azri meneka dengan tepat apabila merebahkan badannya ke arah kiri gawang gol untuk menyelamatkan sepakan penalti ketujuh pasukan tuan rumah diambil Bui Duy Thuong sekali gus membantu pasukan menempah pertemuan menentang kelab dari Indonesia PSM Makassar di pentas akhir.
Sumber – Bernama
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR – Aksi Liga Perdana antara Kelantan FC menentang Perak FC di Stadium Sultan Muhammad IV bertukar ‘panas’ selepas penyokong The Red Warriors dilihat ‘mengamuk’ susulan kekalahan 1-2 yang dialami pasukan itu.
Menerusi beberapa klip video yang tular di laman media sosial, penyokong Perak FC diarahkan masuk ke dalam padang dan tidak dibenarkan untuk keluar dari stadium selepas wisel penamat dibunyikan.
Malah, bukan setakat penyokong tetapi pemain juga dikatakan terpaksa ‘berlindung’ di tengah stadium bagi mengelak daripada mencetuskan perkara yang tidak diingini daripada berlaku.
Bukan itu sahaja, bas dipercayai dinaiki pemain Perak FC turut dibaling dengan objek seperti botol air dan batu oleh kelompok penyokong dipercayai penyokong Kelantan FC.
Gambar cermin bas yang pecah selepas dibaling dengan objek turut menjadi tular di laman media sosial.
Pada aksi terbabit, pendahulu Liga Perdana itu tewas 2-1 di tangan Perak yang menghuni tangga ke-11 meskipun mendahului seawal minit pertama menerusi Jasmir Mehat.
Namun, dua gol menerusi Wan Zack Haikal Wan Noor (m15) dan gol sendiri (m20) memastikan Perak FC meleburkan rekod tanpa kalah Kelantan FC di laman sendiri pada musim ini.
Sumber : Berita Harian
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!