Stadium Temerloh ganti Stadium Darul Makmur
sukan
Stadium Temerloh ganti Stadium Darul Makmur
TEMERLOH – Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) sedia menganjurkan perlawanan Liga Malaysia (Liga M), khususnya Liga Super yang dijadualkan bermula Mei depan.
Yang Dipertua MPT, Suris Mihat berkata setakat ini, segalanya berjalan lancar terutama dari segi kesediaan padang dan lampu limpah bagi memenuhi kriteria ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
“Pihak MFL ada melawat ke stadium baru-baru ini bagi melihat kemudahan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi membolehkan Stadium MPT layak menjadi gelanggang untuk Liga M.
“Perbincangan turut diadakan bersama Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) untuk memastikan keadaan padang serta kemudahan lain pada tahap terbaik.
“Oleh itu sebelum perlawanan liga bermula, MPT akan memastikan segalanya mengikut perancangan,” katanya kepada BH Online.
Berdasarkan perancangan, Stadium Darul Makmur akan ditutup bagi tempoh kira-kira enam bulan bagi menaik taraf rumput padang bermula Mei atau Jun depan.
Sebagai alternatif, Stadium MPT menjadi pilihan utama buat skuad kendalian Fandi Ahmad beraksi selaku gelanggang tuan rumah.
Stadium MPT, Temerloh mempunyai kapasiti kira-kira 10,000 penonton.– SAHIH