GENERASI KEDUA FELDA PERLU REBUT PELUANG
GENERASI KEDUA FELDA PERLU REBUT PELUANG
JERANTUT: Warga peneroka dan generasi kedua FELDA perlu merebut setiap peluang disediakan kerajaan melalui dana diperkenalkan FELDA.
Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, tujuan utama pihak FELDA menyediakan dana adalah untuk digunakan warga peneroka mencari jalan untuk meningkatkan pendapatan masing-masing.
“Adalah menjadi satu kerugian jika semua peluang terhidang ini tidak direbut oleh warga peneroka dan generasi kedua atau ketiga FELDA.
“Kita ingin melihat tahap ekonomi dan taraf hidup semua warga FELDA berada dalam keadaan sangat selesa dan tidak hanya mengharapkan pendapatan melalui hasil ladang sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke FELDA Jengka 8, di sini, hari ini.
Seramai 185 orang hadir terdiri daripada Ketua Peneroka, GPW , MBFM , KAF & seorang dari pengurusan dari 37 buah rancangan Wilayah Jengka.
Idris turut mengingatkan semua pimpinan FELDA agar terus membantu menjayakan hasrat kerajaan untuk meningkatkan imej FELDA supaya terus harum di seluruh dunia.
“Kita ada program Mencari Keberkatan yang diinspirasikan khusus bagi meningkatkan rasa kasih dan bangga dalam kalangan warga peneroka kerana terpilih menyertai serta membangunkan tanah rancangan kendalian FELDA,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, kunjungan Pengerusi FELDA itu sangat dinanti-nantikan dan memberi suntikan semangat kepada semua peserta FELDA Wilayah Jengka.
Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud
Katanya, warga peneroka juga komited untuk memenuhi hasrat pihak pengurusan FELDA untuk memastikan jenama FELDA dapat mencipta sejarah tersendiri di peringkat global menjelang tahun 2040- SAHIH