Sumbang makanan, peralatan i-FB dapat potongan cukai khas mulai 2027
Sumbang makanan, peralatan i-FB dapat potongan cukai khas mulai 2027
KOTA KINABALU: Syarikat korporat, pertubuhan dan individu yang tampil menyumbang makanan serta peralatan menerusi Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) bakal menikmati potongan cukai khas bermula 1 Januari tahun depan hingga 31 Disember 2030.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, insentif menerusi Belanjawan 2027 itu bertujuan menggalakkan lebih banyak pihak tampil membantu golongan memerlukan, selain mengurangkan pembaziran makanan.
Katanya, inisiatif berkenaan juga sebagai pengiktirafan kerajaan terhadap pihak yang memainkan peranan dalam usaha menangani kos sara hidup dan memelihara alam sekitar.
“Insentif cukai ini bukan sahaja memberi galakan kepada pihak luar untuk menyertai gerakan bersepadu yang membabitkan pelbagai pihak, tetapi juga satu bentuk pengiktirafan kepada mereka yang tampil membantu.
“Ia bukan sekadar ikhtiar menangani kos sara hidup, malah menjadi agenda mengelakkan pembaziran melalui penyelamatan makanan, sekali gus memelihara alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis UMS Alumni Homecoming & Fundraising Dinner 2026 di sini, Sabtu lalu.
Armizan berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Kewangan kerana menerima syor Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu.
Menurutnya, insentif berkenaan adalah antara 44 langkah percukaian diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2027.
Katanya, mekanisme pelaksanaan potongan cukai khas itu akan diperincikan melalui penyelarasan bersama Kementerian Kewangan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut menerima geran i-FB sebanyak RM30,000 bagi membantu pelaksanaan inisiatif itu di kampus.
“Geran awal itu digunakan untuk menyediakan peralatan serta ruang khas bagi memudahkan urusan penerimaan, penyimpanan dan pengagihan makanan kepada mahasiswa yang memerlukan,” katanya.
Armizan berkata, pelaksanaan i-FB digerakkan melalui kerjasama pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu dengan Bahagian Kos Sara Hidup KPDN bertindak sebagai urus setia.-SAHIH
#Belanjawan2027 #IhsanFoodBank #KPDN #KosSaraHidup
