RM490 juta perkukuh AKPS, tambah anggota kawal sempadan negara
RM490 juta perkukuh AKPS, tambah anggota kawal sempadan negara
KULIM: Kekurangan anggota dan keperluan penggunaan teknologi keselamatan moden antara perkara utama yang bakal diberi perhatian Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) susulan peruntukan RM490 juta menerusi Belanjawan 2027.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peruntukan itu membolehkan AKPS meningkatkan keupayaan sumber manusia serta memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk negara.
Katanya, peningkatan peruntukan berbanding RM20 juta pada 2025 mencerminkan usaha kerajaan memperkasakan AKPS sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab terhadap kawalan dan perlindungan sempadan negara.
“Ini menunjukkan bagaimana kerajaan sekarang meletakkan AKPS sebagai agensi tunggal kawalan dan perlindungan sempadan pada fasa baharu.
“Dengan peruntukan sebesar ini, perkara pertama adalah soal perjawatan kerana sekarang AKPS beroperasi di pintu masuk negara, sedangkan tugasan semakin bertambah.
“Jadi, dengan peruntukan itu, kita boleh menambah keupayaan sumber manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Wacana Nasional Surah Al-Hujurat: Teras Keharmonian dan Keselamatan Negara, di sini, Sabtu lalu.
Saifuddin Nasution berkata, AKPS turut memerlukan kelengkapan khusus termasuk sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan peralatan berteknologi terkini bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan keselamatan sempadan.
Mengulas peruntukan keseluruhan RM22 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), beliau berkata, kebajikan anggota pasukan beruniform kekal menjadi keutamaan kerajaan.
Menurutnya, antara tumpuan diberikan termasuk menyediakan kuarters lebih selesa, menaik taraf kemudahan sedia ada serta menambah baik prasarana tempat kerja.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, KDN akan mempergiat penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem perkhidmatan agensi di bawah kementerian itu.
Katanya, langkah berkenaan penting bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan dan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Beliau berkata, KDN sudah menetapkan hala tuju penggunaan teknologi berkenaan sejak tiga tahun lalu menerusi pendekatan ‘AI for KDN, KDN for AI’ sebagai sebahagian usaha memperkukuh pengurusan keselamatan negara.-SAHIH
#Belanjawan2027 #AKPS #KDN #KeselamatanSempadan
