Jangan tambah ‘views’, terus lapor kandungan hina agama – Fahmi
Jangan tambah ‘views’, terus lapor kandungan hina agama – Fahmi
MELAKA: Jangan menjadi penyumbang kepada penularan kandungan berunsur penghinaan agama, kaum dan institusi diraja (3R) di media sosial hanya kerana mahu berkongsi hantaran yang mencetuskan kontroversi.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tindakan berkongsi semula kandungan sedemikian hanya membantu memperluas penyebarannya, sekali gus meningkatkan jumlah tontonan.
Menurutnya, orang ramai sepatutnya mengambil tindakan melaporkan kandungan berkenaan kepada pihak berkuasa dan bukannya terus menyebarkannya.
“Jangan bantu untuk sebarkan, jangan reshare, jangan bagi views, tetapi terus buat laporan polis ataupun aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Kedua-dua badan yang bertanggungjawab akan mengambil tindakan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program MADANI Kita 2026 bersama komuniti Paya Rumput@Tangga Batu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, di sini, Sabtu lalu.
Fahmi mengulas kontroversi membabitkan pempengaruh media sosial Lim Sian See atau nama sebenarnya Datuk Eric See-To yang mempersoalkan penggunaan perkataan ‘lighad’ dalam ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkataan itu digunakan ketika Anwar membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.
Dalam hantaran terbabit, Eric didakwa mempersoalkan perkataan berkenaan sebelum mengaitkannya secara sinis dengan perkataan lain.
Perkataan ‘lighad’ yang dipetik daripada Surah al-Hasyr ayat 18 membawa maksud hari esok atau masa hadapan.
Fahmi berkata, pihaknya sudah mengenal pasti individu terbabit dan dimaklumkan mengenai laporan polis yang dibuat berhubung isu berkenaan.
Sementara itu, Eric dilaporkan dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada Ahad sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Eric turut menafikan bahawa komennya bertujuan menghina al-Quran dan mendakwa petikan ayat suci itu ditambah oleh pihak lain dalam penyebaran hantaran berkenaan.
Siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa sebelum sebarang tindakan susulan diputuskan mengikut proses undang-undang.-SAHIH
#FahmiFadzil #Isu3R #Lighad #MCMC
