Filem tempatan makin laku, kutipan cecah rekod RM247.95 juta
Filem tempatan makin laku, kutipan cecah rekod RM247.95 juta
PETALING JAYA: Industri perfileman tempatan terus menunjukkan taring apabila kutipan pecah panggung melonjak kepada RM247.95 juta tahun lalu, sekali gus mencatat rekod tertinggi berbanding RM166.57 juta pada 2024.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pencapaian itu membuktikan karya tempatan semakin mendapat tempat dalam kalangan penonton, selain mampu bersaing menerusi penghasilan filem berkualiti.
Katanya, antara filem yang mencatat kejayaan besar ialah Blood Brothers: Bara Naga dengan kutipan RM73.64 juta, Papa Zola The Movie (RM63.88 juta) dan Ejen Ali The Movie 2 (RM58.40 juta).
“Kejayaan filem tempatan yang mencatat kutipan puluhan juta ringgit membuktikan Malaysia mampu menghasilkan karya berkualiti, menghiburkan serta menarik minat pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Pengumuman Lima Calon Terbaik Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) di Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), di sini, Sabtu lalu.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengerusi FINAS, Datuk Dr Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Teo berkata, perkembangan memberangsangkan itu turut menyaksikan jumlah penonton filem tempatan meningkat kepada 14.83 juta orang pada 2025 berbanding 7.14 juta tahun sebelumnya.
Menurutnya, sehingga Julai tahun ini, filem tempatan merekodkan 6.10 juta penonton dengan enam filem berjaya melepasi kutipan RM10 juta.
Filem berkenaan ialah Ah Beng vs Liang Po Po, Malaikat Malam, Libang Libu, Tarung Unforgiven, Polong dan Chelot.
Beliau berkata, kerajaan turut meneruskan sokongan menerusi Dana Kandungan Kreatif berjumlah RM1 juta kepada pemenang Filem Terbaik FFM35.
Dalam perkembangan sama, Teo menggalakkan kerajaan negeri dan wilayah lain mempertimbangkan pengecualian duti hiburan bagi tiket filem dan persembahan teater tempatan seperti diumumkan menerusi Belanjawan 2027.
Katanya, langkah itu penting untuk terus menyokong perkembangan industri kreatif negara.
FFM35 bertemakan ‘Spektrum Sinema’ dijadual berlangsung pada 21 November depan di Istana Budaya.-SAHIH
#FilemTempatan #FFM35 #IndustriPerfileman #FINAS
