Perahu Sarong bakal gegarkan Kuching Disember ini
Perahu Sarong bakal gegarkan Kuching Disember ini
KUALA LUMPUR: Selepas sedekad menyatukan rakyat menerusi busana tradisional dan pengangkutan awam, Keretapi Sarong 2026 (KS26) bakal membawa kelainan apabila konsep Perahu Sarong diperkenalkan di Kuching, Sarawak pada 12 Disember depan.
Pengasas Bersama LOCCO, Shamsul Bahrin Zainuzzaman berkata, peluasan itu mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana mengambil inspirasi daripada budaya pengangkutan air yang cukup sinonim dengan masyarakat di Kuching.
Menurutnya, konsep berkenaan turut mencerminkan semangat Keretapi Sarong yang merentasi batas kaum, budaya dan latar belakang dalam meraikan kepelbagaian rakyat Malaysia.
“Kita akan menyambut Keretapi Sarong pada 12 haribulan 12 nanti di Sarawak, dan kita tukar nama dia kepada Perahu Sarong.
“Ini merupakan satu benda yang pada saya sangat menarik untuk orang kampung kami di Sarawak. Jadi datang ramai-ramai kelak 12 haribulan 12, akhir tahun tok,” katanya.
Antara pengisian dirancang termasuk aksi abseiling sebagai gimik pelancaran selain kerjasama dengan kira-kira 25 penambang perahu bagi menghidupkan kembali nostalgia pengangkutan air masyarakat setempat.
Dalam perkembangan sama, Shamsul berharap Keretapi Sarong dapat kembali dianjurkan di lokasi bersejarah dan lebih terbuka tahun depan dengan Dataran Merdeka dicadangkan sebagai lokasi sambutan seterusnya.
Beliau turut merayu sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi merealisasikan hasrat berkenaan.
“Tahun depan kita dah ‘lock’, insya-Allah di Dataran Merdeka. Saya memerlukan sokongan daripada DBKL supaya kami boleh melakukan Keretapi Sarong di Dataran Merdeka pada tahun depan,” katanya.
Tahun ini, LOCCO turut memperkenalkan Joget Sarong sebagai lagu rasmi pertama Keretapi Sarong yang dinyanyikan Aina Abdul bersama Didie Shazry.
Kemeriahan KS26 turut diserikan dengan penampilan sulung Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin yang mempersembahkan lagu Kurik Kundi.
KS26 berlangsung di 10 bandar seluruh negara dengan tema Sayang Malaysia, manakala konsep pengangkutan awam dan pemakaian busana tradisional terus menjadi identiti utama acara itu.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Keretapi Sarong, Perahu Sarong, Kuching, Hari Malaysia
