676 peserta cipta rekod batu seremban sempena Hari Malaysia
676 peserta cipta rekod batu seremban sempena Hari Malaysia
KUALA LUMPUR: Permainan tradisional batu seremban mencipta sejarah apabila penyertaan seramai 676 individu berjaya melakar rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Penyertaan Terbanyak Permainan Batu Seremban.
Pencapaian itu direkodkan sempena Penutupan Pesta Permainan Tradisional Malaysia di Festival Budaya Malaysia 2026 yang berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa, di sini.
Pengarah Bahagian Governan dan Kecemerlangan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Norizam Sekak berkata, kejayaan berkenaan membuktikan permainan tradisional masih mempunyai tarikan tersendiri apabila diketengahkan menerusi pendekatan kreatif, inklusif serta selari dengan perkembangan semasa.
“Apa yang kita saksikan pada hari ini turut membuktikan keupayaan warga POLYCC dalam mengangkat warisan tradisional melalui pendekatan inovasi dan teknologi semasa,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi POLYCC Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Azman Arshad berkata, pencapaian berkenaan menjadi detik bermakna apabila permainan tradisional berjaya diketengahkan pada skala besar dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
“Lebih daripada sekadar mencatat rekod, usaha ini membuktikan bahawa permainan tradisional masih mampu menarik minat masyarakat dan terus diraikan oleh generasi hari ini,” katanya.
Pengarah program, Nurazureen Jaafar pula berkata, batu seremban dipilih kerana ia mudah dimainkan oleh semua peringkat usia selain berpotensi terus diperkenalkan kepada generasi muda.
“Semua orang boleh main, tidak kira yang kecil atau yang besar. Sebab itulah kita memilih batu seremban sebagai satu permainan tradisional yang kita hendak rekodkan dalam MBOR pada hari ini,” katanya.
Pesta Permainan Tradisional Malaysia berlangsung dari 11 hingga 16 September sempena Festival Budaya Malaysia 2026 dengan mengetengahkan pelbagai permainan serta aktiviti berkaitan warisan tradisional negara.
Penganjuran itu sekali gus menyemarakkan sambutan Hari Malaysia menerusi usaha menghidupkan kembali permainan warisan yang menjadi sebahagian identiti masyarakat negara ini.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw batu seremban, Malaysia Book of Records, Hari Malaysia, Festival Budaya Malaysia
