Jerebu tak patah semangat 25,000 rakyat ‘bersarong’
Jerebu tak patah semangat 25,000 rakyat ‘bersarong’
KUALA LUMPUR: Biarpun beberapa kawasan di Semenanjung dilanda jerebu, ia tidak mematahkan semangat kira-kira 25,000 rakyat Malaysia membanjiri ibu negara dengan mengenakan kain sarong dan busana tradisional sempena Keretapi Sarong 2026.
Dengan membawa semangat ‘Sayang Malaysia’, peserta daripada pelbagai kaum dan peringkat usia berkumpul bagi meraikan Hari Malaysia, sekali gus menjadikan acara itu lebih daripada sekadar perhimpunan tahunan.
Malah, ada peserta mengambil langkah memakai pelitup muka berikutan peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU).
Pasangan muda, Amir Hijaz Imran Abd Rahman dan isterinya, Farah Hazwani Mahashim tampil istimewa apabila mengenakan persalinan pernikahan mereka sebagai simbol kecintaan kepada negara.
“IPU pun nampak sangat tidak memberangsangkan. Jadi kena jaga kesihatan, minum air banyak dan kekal terhidrat,” kata Amir Hijaz.
Bagi Syafirul Haziq Shahizzam dan Muhammad Farish Mohd Rozi yang pertama kali menyertai acara itu, sambutan berkenaan bukan sekadar peluang mengenakan pakaian tradisional, malah ruang menzahirkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.
Wakil Persatuan Peranakan Baba Nyonya Kuala Lumpur dan Selangor, Nonya Adeline Ee berkata, ada warga emas terlalu teruja sehingga sukar tidur malam sebelum acara itu berlangsung.

Katanya, penyertaan berkenaan turut memberi peluang kepada golongan berusia untuk bergaul, menari dan menyanyi bersama generasi muda.
Di sebalik kemeriahan itu, Pensyarah Kanan Fakulti Filem, Teater dan Animasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nur Afifi Mohamed Taib membawa kisah lebih peribadi apabila mula menyertai Keretapi Sarong pada 2017, dua minggu selepas kehilangan bapanya.

Sejak itu, beliau terus bersama komuniti berkenaan sebagai sebahagian proses membina semula semangat dan kebersamaan.
Dua pelancong dari Melbourne, Australia, Robert dan Cooper pula tidak menyangka persinggahan beberapa jam di Kuala Lumpur menemukan mereka dengan sambutan begitu meriah.
Mereka menyifatkan pengalaman itu unik dan berbeza daripada sambutan yang pernah disaksikan di negara lain.
Selepas sedekad penganjurannya, Keretapi Sarong kini berkembang daripada gerakan sekumpulan rakyat menaiki kereta api dengan bersarong kepada satu gerakan budaya yang meraikan kepelbagaian, kreativiti dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Keretapi Sarong, Hari Malaysia, jerebu, Sayang Malaysia
