Semangat patriotik semarak FELDA Jengka 24
Semangat patriotik semarak FELDA Jengka 24
JERANTUT: Kibaran Jalur Gemilang dan kemeriahan sukan rakyat mewarnai Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia FELDA Jengka 24 yang berlangsung di Taman Al-Falah, di sini, semalam.
Program bermula jam 7.30 pagi itu menghimpunkan komuniti setempat dalam suasana penuh semangat patriotik menerusi pelbagai aktiviti termasuk Funwalk 5 kilometer (km), sukan rakyat, futsal, petanque serta cabutan bertuah.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, sambutan berkenaan turut dimeriahkan dengan Pertandingan Rumah Merdeka dan Blok Merdeka yang mendapat penyertaan penduduk.
Menurutnya, pertandingan itu antara usaha menggalakkan penduduk menghias kediaman serta kawasan blok dengan elemen kemerdekaan selain menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan komuniti.

Bagi kategori Rumah Merdeka, Abd Ghani Abdullah dari Blok 9 muncul juara, manakala Abd Sani Sabran dari Blok 11 menduduki tempat kedua.
Tempat ketiga pula menjadi milik Mohd Yusuf Othman dari Blok 3.
Sementara itu, bagi kategori Blok Merdeka, Blok 9 dinobatkan sebagai juara diikuti Blok 7 di tempat kedua dan Blok 4 di tempat ketiga.
Kemeriahan program turut diserikan dengan pelbagai acara sukan rakyat membabitkan kanak-kanak, wanita dan lelaki antaranya makan biskut, kain pelikat berantai, isi air dalam botol, tuju selipar, tarik upih, sepak bola teropong, pijak belon, ketuk paku dan galah panjang.
Program bersempena Hari Malaysia itu dilaksanakan dengan kerjasama FELDA, JKKR, GPW, MBFM dan KAF, sekali gus menjadi platform mengeratkan hubungan penduduk serta menyuburkan semangat kebersamaan dalam komuniti FELDA Jengka 24.-SAHIH
#kw FELDA Jengka 24, Hari Malaysia, Rumah Merdeka, Blok Merdeka
