Pelancong Jerman maut ketika hiking di Cameron Highlands
Pelancong Jerman maut ketika hiking di Cameron Highlands
CAMERON HIGHLANDS – Seorang lelaki warga Jerman berusia 58 tahun maut selepas terjatuh ke dalam lubang ketika melakukan aktiviti mendaki di Jungle Trail 10, Tanah Rata, di sini, hari ini.

Mangsa yang maut, Hasselbusch Joerg, 58, dilaporkan terjatuh ke dalam lubang yang dipercayai bekas laluan air ketika melakukan aktiviti hiking bersama pasangannya, Hasselbusch Marina, 57.
Mangsa, Hasselbusch Joerg, 58, dilaporkan terjatuh ke dalam lubang yang dipercayai bekas laluan air ketika melakukan aktiviti hiking bersama pasangannya, Hasselbusch Marina, 57.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.04 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands digerakkan ke lokasi.
Katanya, pasukan bomba tiba di kaki bukit pada jam 12.35 tengah hari sebelum meneruskan perjalanan kira-kira 45 minit untuk sampai ke lokasi kejadian, yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari kaki bukit.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa lelaki tidak sedarkan diri. Anggota operasi kemudian membawa mangsa turun ke kaki gunung menggunakan Sked stretcher sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pengesahan.
“Pasangan mangsa, Marina, 57, yang turut melakukan aktiviti hiking bersamanya dilaporkan selamat,” katanya.
Mohd Salahuddin berkata, kejadian itu bukan berpunca daripada tanah runtuh seperti maklumat awal diterima menerusi talian kecemasan 999, sebaliknya mangsa terjatuh ke dalam lubang bekas laluan air.
Operasi turut membabitkan anggota BBP Cameron Highlands, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan KKM.
Operasi ditamatkan pada jam 4.43 petang.-SAHIH.
