Terjun parit tak halang Rosman terus menyanyi
Terjun parit tak halang Rosman terus menyanyi
JERANTUT – Terjatuh ke dalam parit bersama motosikal ketika dalam perjalanan ke pertandingan nyanyian di Selangor sekitar 1970-an tidak mematahkan semangat Rosman Marman untuk meneruskan minatnya dalam bidang berkenaan.
Malah, selepas menukar pakaian yang basah, peneroka Felda Gelanggi Dua itu kembali ke lokasi pertandingan dan tetap membuat persembahan seperti tiada apa berlaku.
“Saya jatuh dalam parit bersama motosikal. Motor terpaksa minta orang tolong angkat, manakala saya balik tukar pakaian kerana semuanya sudah basah.
“Selepas itu saya pergi semula ke tempat pertandingan dan beritahu penganjur saya peserta yang jatuh dalam parit,” katanya sambil ketawa.
Rosman, 76, berkata usia bukan penghalang untuknya terus menyertai pertandingan nyanyian kerana minat itu sudah sebati dalam dirinya sejak zaman bujang.
Katanya, setiap kali ada pertandingan, dia akan cuba mengambil bahagian tanpa menghiraukan soal menang atau kalah.
“Sejak bujang lagi saya suka masuk pertandingan. Kalau ada pertandingan, saya sertai. Menang atau kalah itu perkara lain, yang penting saya dapat menyertai.
“Itu memang hobi saya sejak dulu sampai sekarang,” katanya ketika ditemui pada Pertandingan Nyanyian Solo Lagu Patriotik Jerantut 2026, baru-baru ini.
Menurutnya, pemilihan lagu patriotik dalam pertandingan itu juga amat bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan.
“Memang sewajarnya pertandingan ini menggunakan lagu patriotik kerana ia diadakan sempena kemerdekaan.
“Kalau pilih lagu lain, nanti tidak kena dengan suasana sambutan. Jadi, kita bawakan lagu patriotik,” katanya.
Rosman turut menyambut baik penganjuran pertandingan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebudayaan dan Keseniaan Daerah Jerantut disifatkannya sebagai platform menggalakkan masyarakat menyemarakkan semangat cintakan negara.
“Saya rasa penganjuran ini bagus dan saya sokong. Dulu pun saya pernah datang melihat pertandingan di sini, cuma ketika itu saya tidak menyertai pertandingan.
“Sekarang saya berpeluang untuk turut serta,” katanya.-SAHIH.
