Anwar bakal adakan pertemuan berprofil tinggi dengan Modi, Putin
Anwar bakal adakan pertemuan berprofil tinggi dengan Modi, Putin
NEW DELHI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala berprofil tinggi termasuk dengan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi dan Presiden Rusia, Vladimir Putin sempena Sidang Kemuncak BRICS ke-18 di sini.
Selain dua pemimpin berkenaan, Anwar turut dijadual bertemu Presiden Iran, Masoud Pezeshkian; Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev dan Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed di luar sidang kemuncak berkenaan.
Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India merangkap Timbalan Pesuruhjaya Tinggi, Sharifah Ezneeda Wafa berkata, pertemuan dua hala berkenaan sudah disahkan, namun tidak menolak kemungkinan sesi tambahan diadakan sekiranya jadual kedua-dua pihak mengizinkan.
Menurutnya, penyertaan Malaysia dalam sidang berkenaan membuka ruang kepada negara untuk mengetengahkan pendirian mengenai pelbagai isu utama di peringkat global.
“Kita dapat mengetengahkan pendirian negara berhubung pelbagai isu global utama seperti multilateralisme, pembangunan mampan, perubahan iklim, keamanan dan kestabilan antarabangsa,” katanya kepada media Malaysia menjelang ketibaan Anwar di New Delhi.
Malaysia menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS di New Delhi dalam kapasiti sebagai Negara Rakan BRICS.
Sidang kemuncak yang dihoskan Modi itu membawa tema ‘Building for Resilience, Innovation, Cooperation and Sustainability’ dengan tumpuan antaranya memperkukuh daya tahan dan kerjasama ekonomi, selain pembaharuan perdagangan serta pelaburan.
Penyertaan Malaysia juga dilihat sebagai platform penting untuk memperluas kerjasama dengan negara anggota dan rakan BRICS, terutama dalam bidang ekonomi serta perdagangan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Anwar Ibrahim, BRICS, Narendra Modi, Vladimir Putin, New Delhi, India, Malaysia, pertemuan dua hala
