Operasi Tasik Bera tegang, seorang individu cedera ditumbuk
Operasi Tasik Bera tegang, seorang individu cedera ditumbuk
BERA: Operasi penguatkuasaan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Ramsar, Tasik Bera bertukar tegang apabila seorang individu cedera dipercayai ditumbuk individu tidak dikenali di Kampung Lubuk Tambangan, semalam.
Kejadian kira-kira jam 1.20 tengah hari itu berlaku ketika sekumpulan masyarakat Orang Asli didakwa melakukan provokasi serta cuba menghalang anggota penguat kuasa menjalankan tugas di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan anggota penguat kuasa diketuai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menjalankan operasi di kawasan berkenaan.
Menurutnya, ketika operasi berlangsung, sekumpulan masyarakat Orang Asli didakwa melakukan provokasi dan cuba menghalang tindakan penguatkuasaan yang sedang dijalankan.
“Dalam kejadian itu, seorang individu cedera selepas dipercayai ditumbuk individu tidak dikenali.
“Anggota penguat kuasa UPNP yang menjalankan operasi turut menerima ugutan supaya tidak meneruskan tindakan penguatkuasaan di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Zulkiflee berkata, susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 54 tahun bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan, Seksyen 186 kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 506 kerana ugutan jenayah.
“Pihak polis tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan lain akan dilakukan dalam masa terdekat bagi membantu dan melengkapkan siasatan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti individu lain yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.
Sehubungan itu, Zulkiflee menasihatkan orang ramai supaya memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu kelancaran operasi.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghalang mana-mana agensi kerajaan ketika menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan berkenaan,” katanya.-SAHIH
#kw: Tasik Bera, Cedera Ditumbuk, Orang Asli, Penguatkuasaan
