Baru mendarat di KLIA, suspek samun emas Genting terus diberkas
“Baru mendarat di KLIA, suspek samun emas Genting terus diberkas”.
BENTONG: Polis menahan seorang lagi suspek dipercayai terbabit dalam kes samun kedai emas membabitkan kerugian kira-kira RM1.75 juta di SkyAvenue, Genting Highlands, menjadikan keseluruhan tujuh individu diberkas setakat ini.
Suspek terbaharu, lelaki warga China berusia awal 40-an, ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, suspek ditahan ketika baru mendarat di Malaysia sebelum dibawa bagi membantu siasatan.
“Untuk makluman, ada tangkapan terbaru yang dibuat Polis Pahang semalam membabitkan seorang lelaki warga China.
“Siasatan masih diteruskan dan permohonan reman sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong. Suspek direman sehingga 10 Oktober ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Bentong dan Pengerusi PERKEP Daerah Bentong di IPD Bentong, di sini, hari ini.
Menurut Azry Akmar, tiada barangan berkaitan kes itu dirampas daripada suspek terbaharu selain barangan peribadinya.
Katanya, daripada tujuh suspek yang ditahan setakat ini, lima adalah warga asing manakala dua lagi rakyat tempatan.
“Siasatan masih diteruskan dan baki suspek yang belum ditangkap akan kita kesan serta tangkap,” katanya.
Dalam kejadian Ogos lalu, tiga lelaki bersenjatakan kapak dan kuku kambing melarikan lima bekas mengandungi 81 barang kemas seberat kira-kira 2.5 kilogram bernilai RM1.747 juta dari sebuah kedai emas di SkyAvenue.
Kejadian kira-kira jam 11.39 pagi itu dipercayai mengambil masa sekitar dua minit sebelum suspek melarikan diri.
Sebelum ini, polis memaklumkan suspek memakai penutup muka, topi dan jaket sebelum mengumpil serta memecahkan cermin pameran barang kemas.
Dalam perkembangan berasingan, bekas Ketua Polis Daerah Bentong, Asisten Komisioner Zaiham Mohd Kahar bertukar dan dinaikkan pangkat untuk berkhidmat di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Bukit Aman.
Jawatan Ketua Polis Daerah Bentong kini dipangku Timbalan Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Azmi Mahmood.-SAHIH
#kw: Samun Emas, Genting Highlands, Warga China, KLIA
