Lepas jerut kekasih, suspek sendiri telefon polis
Lepas cekik kekasih, suspek sendiri telefon polis
BENTONG: Seorang lelaki berusia 19 tahun yang disyaki menjerut leher kekasihnya sehingga maut di sebuah bilik sewa di Jalan Air Putih 2, Kuantan, semalam, dipercayai sendiri menghubungi polis bagi memaklumkan tindakannya itu.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu apabila suspek tidak berpuas hati mangsa yang juga berusia 19 tahun berjumpa lelaki lain.
Menurutnya, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), semalam, mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat jerutan pada leher sehingga menyebabkan kekurangan oksigen.
“Siasatan mendapati motif pembunuhan dipercayai akibat cemburu antara pasangan kekasih itu kerana suspek tidak berpuas hati mangsa berjumpa lelaki lain.
“Suspek sendiri yang menghubungi pihak polis dan memaklumkan bahawa dia sudah mengambil tindakan mencekik mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Bentong, Asisten Komisioner Zaiham Mohd Kahar, yang akan dipangku timbalannya, Deputi Superintendan Azmi Mahmood, di sini, hari ini.
Azry Akmar berkata, suspek yang berasal dari Perak dipercayai datang ke rumah sewa mangsa kira-kira seminggu lalu sebelum tinggal bersama wanita terbabit.
Katanya, mangsa yang berasal dari Kedah menyewa rumah berkenaan bersama beberapa rakan yang juga pelajar.
“Suspek sebelum ini pernah belajar bersama mangsa, namun sudah diberhentikan pengajian dan kini tidak bekerja.
“Ujian air kencing terhadap suspek juga didapati negatif, manakala keadaan mentalnya setakat ini adalah normal,” katanya.
Menurutnya, suspek kini direman sehingga 12 Oktober ini bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.
Beliau berkata, mayat mangsa sudah dituntut keluarga dan dibawa pulang ke kampung halaman di Kedah untuk urusan pengebumian.
Terdahulu, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di atas katil dalam bilik sewa berkenaan selepas polis menerima panggilan kecemasan daripada suspek pada jam 4.32 pagi, semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.-SAHIH
#kw Bunuh Cemburu Dicekik Kuantan
