KUSKOP perinci program usahawan, koperasi di Melaka
KUSKOP perinci program usahawan, koperasi di Melaka
MELAKA: Beberapa program melibatkan komuniti usahawan dan gerakan koperasi bakal dilaksanakan di sekitar negeri ini sepanjang Oktober dan November 2026 dalam usaha memperkukuh jaringan serta hubungan antara agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Perancangan itu antara perkara dibincangkan dalam Sesi Libat Urus Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin bersama agensi di bawah pentadbiran KUSKOP di Melaka, semalam.
Sesi yang berlangsung di Menara Persekutuan, Ayer Keroh itu memberi tumpuan kepada penyelarasan tentatif beberapa program termasuk mendapatkan pandangan agensi terbabit berkaitan perjalanan program, keperluan bajet serta pengedaran brosur.
Antara program yang dirancang ialah Majlis Ramah Mesra Bersama Usahawan dan Koperasi, Walkabout Bersama Usahawan, Meet & Greet Bersama Koperasi, Program Ziarah Kasih serta Program Transformasi dan Sesi Libat Urus Timbalan Menteri bersama koperasi.
Perbincangan itu turut menjadi medan penyelarasan antara kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap program yang dirancang dapat dilaksanakan secara tersusun serta mencapai kumpulan sasaran.
Hadir sama, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Melaka, Mustafa Kamal Mohd Nor.
Turut hadir Pengurus TEKUN Nasional Negeri Melaka, Anuar Abu Zarin; Naib Presiden Kanan Komunikasi dan CSR Bank Rakyat, Azahary Kamarulzaman serta wakil SME Bank Melaka, Hajah Rohaidah Aris.
Sesi berkenaan diharap dapat membantu memperkemas pelaksanaan program KUSKOP di Melaka selain memperkukuh kerjasama antara agensi dalam usaha membangunkan sektor keusahawanan dan koperasi di negeri itu.-SAHIH
#kw: KUSKOP, Melaka, usahawan, koperasi
