7.33 juta anggota jadi kekuatan koperasi teroka sektor baharu
7.33 juta anggota jadi kekuatan koperasi teroka sektor baharu
KUALA LUMPUR: Kekuatan lebih 7.33 juta anggota koperasi di seluruh negara perlu dimanfaatkan untuk meneroka sektor perniagaan baharu dan membina kerjasama strategik yang mampu menghasilkan nilai ekonomi lebih besar.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, gerakan koperasi tidak seharusnya bergantung kepada bidang perniagaan tradisional, sebaliknya perlu berani memperluas portfolio bersama rakan industri yang memiliki kepakaran khusus.
Menurutnya, berdasarkan statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi 2025, sebanyak 16,468 koperasi direkodkan dengan lebih 7.33 juta anggota, aset berjumlah RM186.75 bilion serta perolehan RM81.62 bilion.
“Angka ini menunjukkan gerakan koperasi mempunyai skala ekonomi yang besar serta jaringan keanggotaan luas.
“Kekuatan ini perlu diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi yang lebih kreatif, proaktif dan mampu memenuhi keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara MyANGKASA Holdings Sdn Bhd (MHSB) dan OPTIMAX Eye Specialist Centre Sdn Bhd di Hyatt Place, Bukit Jalil, semalam.
Mohamad berkata, kerjasama berkenaan membuktikan jaringan koperasi boleh digabungkan dengan kepakaran industri dalam membuka peluang baharu, termasuk sektor penjagaan kesihatan mata.
Menurutnya, usaha memperluas akses kepada rawatan mata berkualiti bukan sahaja mempunyai nilai perniagaan, malah memberi manfaat secara langsung kepada kesejahteraan anggota dan masyarakat.
Sementara itu, Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi MHSB, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, kerjasama dengan OPTIMAX membolehkan anggota koperasi mendapatkan perkhidmatan pakar bagi masalah penglihatan termasuk rabun dan katarak.
Katanya, kemudahan Sistem Potongan Gaji ANGKASA (eSPGA) turut disediakan bagi membolehkan bayaran rawatan dibuat secara ansuran bulanan.
“Nilai sebenar sesuatu kerjasama hanya dapat dilihat apabila manfaatnya benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran,” katanya.
Pengerusi OPTIMAX Holdings Berhad, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min pula berkata, kerjasama itu membuka akses lebih luas kepada kira-kira 7.2 juta anggota koperasi dalam rangkaian ANGKASA serta ahli keluarga terdekat yang layak mendapatkan perkhidmatan penjagaan mata.-SAHIH
#kw: ANGKASA, koperasi, OPTIMAX, kesihatan mata
