Cuaca panas cecah 40 darjah Celsius, KPKM siap siaga hadapi El Nino
Cuaca panas cecah 40 darjah Celsius, KPKM siap siaga hadapi El Nino
GEORGE TOWN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mula mengatur langkah awal bagi menghadapi kemungkinan cuaca panas melampau sehingga mencecah 40 darjah Celsius yang dijangka berlaku bermula akhir tahun ini hingga April tahun depan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya sedang mendapatkan pandangan pakar kecerdasan buatan (AI), sains dan teknologi bagi mengenal pasti kaedah terbaik menangani kesan perubahan cuaca berkenaan, khususnya terhadap sektor pertanian negara.
Menurutnya, persediaan rapi perlu dilakukan lebih awal bagi memastikan kerajaan dan rakyat tidak berdepan keadaan panik sekiranya fenomena El Nino menyebabkan cuaca panas serta kering berpanjangan.
“Kita berada dalam persediaan mencari jalan, pakar-pakar teknologi AI, sains dan sebagainya, bagaimana untuk hadapi kalau cuaca mencecah 40 darjah Celsius daripada akhir tahun ini, sehingga dijangka pada bulan April tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Presiden Parti Amanah Negara di sini, Rabu lalu.
Mohamad berkata, antara cabaran utama yang perlu diberikan perhatian ialah kemungkinan berlaku kekurangan bekalan air yang boleh menjejaskan aktiviti pertanian termasuk tanaman dan penternakan.
Katanya, keadaan itu memerlukan perancangan lebih awal bagi mengurangkan risiko gangguan terhadap sektor pengeluaran makanan negara.
Beliau berkata, kementeriannya turut mengambil kira maklumat dan ramalan awal berkaitan perubahan cuaca bagi memastikan langkah bersesuaian dapat dirangka sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berharap Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan hari ini memberi perhatian terhadap keperluan KPKM dalam menghadapi cabaran fenomena El Nino.
Menurutnya, isu bekalan air perlu ditangani dengan segera menerusi persediaan menyeluruh bagi memastikan aktiviti pertanian dan penternakan dapat diteruskan sekiranya negara mengalami tempoh kemarau panjang.
Beliau menegaskan langkah persediaan itu penting bagi memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara meskipun berdepan ketidaktentuan perubahan cuaca.-SAHIH
#kw: Mohamad Sabu, El Nino, Cuaca Panas, Keterjaminan Makanan
