Peres jadi penyelamat, Kuching City bangkit dua kali ikat Tampines Rovers
Peres jadi penyelamat, Kuching City bangkit dua kali ikat Tampines Rovers
KUCHING: Dua jaringan pemain import Brazil, Gabriel Peres, termasuk gol dramatik pada masa kecederaan memastikan Kuching City FC terselamat daripada kekalahan ketika mengikat Tampines Rovers 2-2 dalam aksi Kumpulan A Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) 2026/2027, Rabu lalu.
Pertembungan di Stadium Taha Ariffin itu menyaksikan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak terpaksa bangkit dua kali selepas ketinggalan kepada wakil Singapura berkenaan sebelum meraih satu mata dalam aksi pembukaan mereka.
Tampines Rovers terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila Naberu Yoshitaka Furusawa membuka jaringan seawal minit ke-13.
Gol berkenaan memberikan kelebihan kepada pasukan pelawat yang berjaya mempertahankan kedudukan 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Kuching City meningkatkan intensiti permainan dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya dalam usaha mencari gol penyamaan.
Tekanan berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Peres berjaya merobek gawang lawan pada minit ke-83 untuk mengikat kedudukan 1-1.
Bagaimanapun, kegembiraan penyokong Kuching City tidak bertahan lama apabila Koya Kazama kembali meletakkan Tampines Rovers di hadapan menerusi jaringan pada minit ke-87.
Ketika pasukan pelawat hampir membawa pulang kemenangan, Peres sekali lagi membuktikan ketajamannya apabila menghasilkan gol kedua peribadi pada masa kecederaan.
Jaringan dramatik itu memastikan Kuching City mengelak kekalahan di laman sendiri, sekali gus memaksa kedua-dua pasukan berpuas hati dengan keputusan seri 2-2.
Keputusan berkenaan membolehkan Kuching City mengutip satu mata sebagai bekalan awal dalam saingan peringkat kumpulan kejohanan berkenaan.
Skuad kendalian Aidil Sharin seterusnya dijadual melayani kunjungan wakil Indonesia, Borneo FC Samarinda pada 9 Disember depan di venue sama.
Dalam dua lagi perlawanan Kumpulan A, Buriram United terikat tanpa jaringan dengan Borneo FC Samarinda, manakala Ratchaburi turut berkongsi mata selepas seri 1-1 menentang Ho Chi Minh City Police.-SAHIH
#kw: Kuching City, Gabriel Peres, Tampines Rovers, Kejohanan Kelab ASEAN
